am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari menegaskan bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk memegang jawatan menteri, meskipun namanya disebut-sebut sebagai antara pemimpin muda PKR yang berpotensi menggalas tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.
Muhammed Taufiq yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat berkata, keutamaan beliau kini adalah berkhidmat untuk rakyat di kawasannya dan menyumbang dalam kapasiti yang diamanahkan, tanpa mengharapkan sebarang jawatan.
“Tidak terfikir oleh saya. Itu semua hak mutlak Perdana Menteri. Saya serahkan semuanya kepada pucuk pimpinan,” katanya .
Beliau berkata ketika ditemui selepas program Hari Bersama Pelanggan sempena Minggu Perubatan Kecemasan Sedunia Peringkat Negeri Kedah di perkarangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan spekulasi mengenai calon pengganti dalam barisan Kabinet.
Muhammed Taufiq berkata, beliau menghormati keputusan Rafizi dan menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada perkara normal dalam politik, selaras dengan pendirian peribadi Rafizi sejak awal pembabitan dalam gerakan reformasi.
“Saya menghormati keputusan beliau dan menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan atasan membuat keputusan terbaik untuk parti dan rakyat secara keseluruhannya.
“Itu saja komen saya. Saya serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa peletakan jawatan itu tidak wajar dianggap sebagai sesuatu yang dramatik atau merisaukan.
“Bagi saya itu adalah pendirian beliau sejak awal beliau berkempen dan peletakan jawatan itu sebenarnya adalah perkara yang normal. Ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam proses politik matang,” katanya.
Beliau turut optimis Rafizi tetap akan terus menyumbang kepada perjuangan parti dan pembangunan negara dalam bentuk lain.
“Saya harap Rafizi masih boleh menyumbang kepada parti dan juga rakyat, khususnya di kawasan beliau, Parlimen Pandan, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Idea dan tenaga beliau amat-amat diperlukan,” katanya.
Menurutnya, keutamaan kini adalah memastikan kesinambungan agenda reformasi ekonomi yang sudah dirangka oleh sesiapa saja yang bakal dilantik menggantikan tempat Rafizi.
“Kita menghormati peletakan jawatan beliau dan saya harap kekosongan itu dapat diisi dengan baik oleh seseorang yang mampu meneruskan agenda yang diilhamkan sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




