Muhyiddin berbuka puasa bersama jemaah menteri

Muhyiddin berbuka puasa bersama jemaah menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama jemaah menteri, di sini.

Muhyiddin tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 7.05 petang bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Antara yang hadir ialah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhyiddin turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah yang diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Ustaz Ikmal Zaidi Hashim.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook rasminya berkata, beliau turut berkesempatan mengikuti tazkirah yang disampaikan Ustaz Datuk Badli Shah Alaudin mengenai mukjizat Al-Quran, sesuai dengan sejarah malam turunnya kitab suci umat Islam.

“Alhamdulillah, pada malam Nuzul Quran ini saya dan isteri berpeluang menunaikan solat sunat tarawih berjemaah bersama menteri, timbalan menteri dan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

“Semoga amalan baik kita semua mendapat pahala dan diterima oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin seterusnya meminta umat Islam di negara ini untuk bersama-sama meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan dan menjauhi segala kemungkaran. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top