‘Muhyiddin bukan pengasas PN’ – Wan Saiful

‘Muhyiddin bukan pengasas PN’ – Wan Saiful

SHAH ALAM – Dakwaan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengasas Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai ‘tahyul’ yang cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan gabungan itu.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, naratif berkenaan tidak selari dengan rekod penubuhan PN yang melibatkan penyertaan beberapa parti sebelum gabungan tersebut ditubuhkan secara rasmi.

“Sekarang sudah tular senarai pemimpin-pemimpin yang hadir dalam mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 di Menara Parlimen yang jelas sekali bahawa yang hadir adalah 12 orang yang merangkumi parti Pas, Bersatu, Gerakan dan MIC.

“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN, sekali lagi ini pun tahyul apabila idea asal penubuhan PN, serta asal usul terciptanya nama PN, langsung tidak melibatkan Muhyiddin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata, hanya tiga individu terlibat dalam mengemukakan cadangan awal penubuhan PN kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui surat rasmi yang mencadangkan penubuhan gabungan berkenaan.

Tambahnya, seorang lagi individu menyiapkan dokumen cadangan setebal 38 muka surat berkaitan penubuhan PN, manakala dua individu lain dikatakan memainkan peranan dalam mereka bentuk logo rasmi gabungan tersebut yang digunakan sehingga hari ini.

“Saya sengaja tidak mahu sebut nama enam orang ini sebab saya belum minta kebenaran dari mereka namun, saya harap individu ini sendiri tampil mematikan tahyul yang cuba dibawa oleh Bersatu ini.

“Kalau orang yang menandatangani surat 38 mukasurat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik,” katanya lagi.

Wan Saiful berkata, Muhyiddin hanya terlibat pada peringkat akhir dan tidak seharusnya diberikan kredit secara eksklusif terhadap pembentukan gabungan itu.

Terdahulu, selepas Pas memutuskan menamatkan kerjasama dengan Bersatu, Isnin lalu, beberapa pemimpin kanan Bersatu menggesa Muhyiddin yang juga seorang pengasas kembali menerajui PN.

Namun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan gabungan itu bukan milik mana-mana parti secara mutlak sebaliknya ia ditubuhkan atas dasar muafakat dalam kalangan parti pengasasnya.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, Pas merupakan antara parti pengasas kepada penubuhan gabungan politik tersebut dan beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi ketika proses penubuhan PN dilakukan.

Scroll to Top