Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menyatakan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih layak untuk tadbir negara, berdasarkan pengalaman lalu ketika krisis pandemik Covid-19.
Ada pengalaman baik tadbir negara
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengerusi PN itu mendakwa gabungannya memiliki rekod yang lebih baik berbanding Kerajaan Perpaduan dalam tadbir negara dan bersedia menggantikan pentadbiran sedia ada demi kebajikan rakyat.
Akan perkenal dasar baru dalam tadbir negara jika diberi mandat
Menurut beliau, sekiranya diberi mandat semula, PN akan memperkenalkan dasar baharu yang lebih tersusun dan menghapuskan amalan yang dilihat tidak memihak kepada rakyat.
“Orang bertanya kalau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim letak jawatan siapa kerajaan yang akan memimpin negara? Agaknya siapa? Susah nak jawab? Tak mengapa.
“Tapi ada persoalan berbangkit kalau kerajaan hari ini begitu teruk kononnya, dia kata dia tak nampak lagi parti lain ada agenda yang boleh ganti kerajaan yang ada.“(Jawabnya) tak akan kerajaan yang nak ganti itu sama taraf dan martabat seperti kerajaan Madani tak munasabah, mesti lebih baik,” katanya.
Punya perancangan sendiri berkaitan SST
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Mandat Negarawan yang turut dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang malam tadi.
Selain itu, Muhyiddin turut menyentuh isu pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menyatakan PN sudah mempunyai perancangan tersendiri.
“SST itu jangan buat macam itu, saya sudah ada formula macam mana, bukan saya Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) tapi macam mana nak selesaikan masalah-masalah begitu kita ada cara dan kebijaksanaan kita sendiri.
“Apa lagi kalau sampai pilihan raya kita sediakan manifesto macam mana nak mengatasi masalah ekonomi negara, macam mana nak pulih ekonomi, macam mana nak sedia peluang kerja yang lebih banyak dan macam mana nak menambahkan pendapatan rakyat.
“Bukan kita janji tetapi terbukti kita akan laksanakan macam yang kita buat di waktu Covid-19 dahulu, insha-Allah,” katanya.
Artikel lain: Hamzah Zainudin dilantik jadi pengarah, Faizal Azumu pula selia jabatan pilihan raya Bersatu
Dalam pada masa yang sama, Muhyiddin turut menyentuh soal kecekapan pengurusan kewangan negara ketika ini yang sepatutnya lebih baik kerana tiada lagi sekatan seperti waktu pandemik.
Dilihat daripada keadaan semasa, PN kini seakan sedang menyusun langkah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan pelbagai tawaran yang akan dimuatkan dalam manifesto mereka nanti.
Sumber: Utusan Malaysia (Muhamad Aimy Ahmad)