Muhyiddin gesa kerajaan perjelas peraturan tahanan rumah Najib

Muhyiddin gesa kerajaan perjelas peraturan tahanan rumah Najib

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan digesa menjelaskan peraturan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi memastikan rakyat memahami asas undang-undang dan sekatan dikenakan terhadapnya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini masih belum jelas sama ada tahanan rumah mempunyai peraturan khusus seperti hukuman penjara atau sebaliknya.

Katanya, rakyat perlu mengetahui sama ada individu yang menjalani tahanan rumah bebas melakukan apa sahaja atau tertakluk kepada sekatan tertentu, termasuk pergerakan fizikal.

“Kita pernah keluarkan kenyataan dulu bahawa kita tak faham apa maksud tahanan di rumah. Adakah dia macam peraturan-peraturan di penjara?

“Pasal seingat saya, belum ada lagi undang-undang khas yang menentukan peraturan tentang tahanan rumah ini.

“Dia bebas boleh buat apa dia suka atau terhad. Ada sekatan-sekatan ke ? Baik dari segi fizikal dan juga cara-cara dia dikatakan ditahan di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program menyantuni rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dalam Parlimen Tangga Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan calon BERSATU DUN Sungai Udang, Mejar (B) Abdullah Mahadi.

Najib hari ini dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 18 September lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan. Pada hari sama, beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengeluarkan penjelasan bersandarkan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah berkenaan supaya rakyat faham.

Katanya, sekiranya belum ada undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah, kerajaan perlu menggubal peruntukan berkenaan dan membawanya ke Parlimen.

“Kalau perlu ada undang-undang khas, patut undang-undang itu mesti digubal dan juga dibawa ke Parlimen. Tapi sementara ini, saya tak tahu apa asas peraturan yang digunakan untuk membolehkan tahanan rumah itu dilaksanakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top