Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan kekecewaan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya gagal mengurus konflik dalaman parti secara rasional sehingga meletakkan BERSATU di ambang kehancuran.
Hormat Muhyiddin bimbing dalam politik
Memetik laporan daripada Harian Metro, Wan Fayhsal menyatakan beliau tetap menghormati Muhyiddin sebagai individu yang banyak membimbingnya dalam dunia politik. Namun, beliau berpandangan tindakan yang diambil bekas Perdana Menteri itu ketika ini memberi kesan negatif kepada BERSATU dan juga Perikatan Nasional (PN).
“Saya hormati Tan Sri Muhyiddin sebagai seorang yang membimbing saya dalam politik sebelum ini.
“Tetapi apa yang beliau buat kini adalah sesuatu yang benar-benar merugikan BERSATU dan juga PN.
“Beliau masih lagi berkeras, bertegang urat dengan PAS dengan kami semua, seolah-olah beliau masih lagi Pengerusi PN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang.

Hujah dikemukan Muhyiddin tak punyai asas
Mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa BERSATU kekal bertanding menggunakan logo PN, Wan Fayhsal berkata hujah yang dikemukakan itu tidak mempunyai asas yang kukuh dan seharusnya dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
“Apa yang beliau cuba hujahkan semalam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu sebenarnya bukan sesuatu yang ada asas pun.
“Perkara teknikal saya tidak mahu kupas kerana ia berada dalam bidang kuasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN). Biarlah pimpinan dalam MTPN membincangkannya,” katanya.
Pelantikan ketua pembangkang turut dibincangkan
Pada masa sama, beliau menjelaskan pertemuan Ahli Parlimen PN yang turut dihadiri wakil PAS, Parti Wawasan Negara dan Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu lebih tertumpu kepada persiapan menghadapi sidang Dewan Rakyat minggu depan serta perkembangan semasa.
Menurutnya, isu pelantikan Ketua Pembangkang turut dibincangkan, namun tiada sebarang keputusan dibuat kerana perkara tersebut bukan dalam bidang kuasa Ahli Parlimen.
“Boleh dikatakan antara perkara yang dibincangkan ialah isu Ketua Pembangkang dan juga persiapan kami untuk sidang minggu depan.
“Tetapi tiada keputusan dibuat kerana ini bukan bidang Ahli Parlimen. Ini bukan MTPN, jadi saya tidak boleh komen banyak,” katanya.

Wan Fayhsal menambah beliau kecewa dengan pendekatan Muhyiddin dalam menangani konflik yang berlaku ketika ini.
“Saya kecewa dengan Tan Sri Muhyiddin kerana beliau, bagi saya, sudah tidak mempunyai pertimbangan yang rasional dalam menguruskan konflik ini.
“Sebenarnya BERSATU sedang di ambang kehancuran. Itu pemerhatian saya,” katanya.
Terdahulu, PN mengumumkan rombakan pentadbiran parti berkuat kuasa serta-merta, menyaksikan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan daripada jawatan masing-masing.
Sebelum ini, Radzi memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, manakala Azmin pula sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN.
Sumber: Harian Metro (Mahani Ishak)




