am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka dipecat daripada parti tunjang Perikatan Nasional (PN) itu pada masa terdekat.
BH difahamkan, desakan supaya tindakan tegas berkenaan diambil terhadap Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu disuarakan ramai pemimpin parti yang menghadiri sesi dialog bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, kelmarin.
Sumber dalam kalangan kepimpinan BERSATU memaklumkan kepada BH, ramai pemimpin parti itu bersetuju Hamzah dikenakan tindakan pecat.
“Ramai yang setuju Datuk Seri Hamzah diambil tindakan, ramai yang setuju beliau dipecat… tunggu sedikit (masa) lagi, sudah mula ada desakan dari bawah,” kata sumber berkenaan.
Sumber berasingan yang hadir sesi dialog bersama Muhyiddin kelmarin, memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu sudah hilang sabar dengan ‘kekacauan’ yang didakwa didalangi Hamzah.
“Melalui sesi semalam (kelmarin), jelas kelihatan Tan Sri Muhyiddin sudah hilang sabar dan berang dengan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Hamzah, termasuk berdiam diri ketika serangan bertubi-tubi dibuat ke atas presiden parti.
“Tan Sri Muhyiddin tanpa berselindung menyatakan mana-mana pemimpin yang membuat kacau akan diambil tindakan,” katanya menambah Ahli Parlimen Pagoh itu juga mahu BERSATU dibina semula dengan semangat bersatu padu tanpa cubaan sabotaj daripada mana-mana pemimpin parti.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, mendakwa ahli akar umbi berang dengan sikap Hamzah yang dilihat tidak menjalankan tugas timbalan presiden dengan mempertahankan Muhyiddin.
Ditanya sama ada Hamzah akan dipecat parti, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu mengakui wujud desakan sedemikian ketika ini.
“Ahli parti berfikiran rasional dan boleh menilai sendiri. Mereka sangat marah kerana sepatutnya tugas timbalan presiden adalah membantu presiden, termasuk ketika kepemimpinan tertinggi diserang secara terus-menerus, namun tiada usaha daripada Datuk Seri Hamzah.
“Dia tidak berbuat demikian (mempertahankan presiden), seolah-olah memberi isyarat bahawa serangan itu mendapat ‘lampu hijau’ daripadanya,” katanya menambah pemimpin yang gagal mengikut dan menjalankan tanggungjawab seperti termaktub dalam perlembagaan parti sepatutnya berundur.
“Saya lagi suka jika mana-mana pemimpin parti yang tidak boleh ikut perlembagaan parti, berundur dan biarlah parti diuruskan oleh mereka yang boleh mengikut peraturan,” katanya.
Sementara itu, Hamzah dan pegawainya yang dihubungi BH untuk mendapatkan reaksi perkembangan terbaharu konflik beliau dengan Muhyiddin, bagaimanapun tidak menjawab panggilan berkenaan.
Difahamkan Ahli Parlimen Larut itu bersama pemimpin BERSATU memihak kepadanya dipercayai sedang berada di luar negara dan tidak hadir sesi dialog bersama Muhyiddin, kelmarin.
Kelmarin, BH memetik Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjumpaan khas Ahli MPT parti bakal berlangsung di kediaman Muhyiddin.
Mesyuarat itu dirancang ketika pertelagahan kepemimpinan BERSATU semakin memuncak dengan desakan yang semakin kuat supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden parti, diikuti desakan balas supaya Hamzah turut meletak jawatan nombor dua disandangnya ketika ini.
Konflik dalaman BERSATU memuncak selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN, sekali gus membuka ruang kepada pertempuran kuasa dalaman yang jelas terbahagi kepada dua kem utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd



