zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ramalan sesetengah pihak bahawa BERSATU sudah terkubur susulan krisis dalaman yang berlaku dalam parti itu sebagai tidak benar sama sekali.
Muhyiddin berkata, tindakan tegas yang diambil terhadap segelintir pemimpin parti sejak kebelakangan ini bertujuan menyelesaikan masalah dalaman parti itu, jauh sekali untuk mendakwa parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu terkubur.
“Mungkin ramai yang mengikuti perkembangan yang sedang atau sudah berlaku dalam BERSATU, cuma saya ingin menyatakan bahawa tidaklah tepat bagi banyak pihak yang meramalkan bahawa BERSATU ini sudah terkubur. Jauh sekali.
“Alhamdulillah, dengan tindakan yang sudah pun kita ambil, bukan setakat mereka yang melakukan kesalahan dari sudut politik dalam parti dihadapkan ke Lembaga Disiplin, tetapi kita juga sudah selesai mengambil tindakan penambahbaikan dalam parti kita.
“Selain itu, ada beberapa pemimpin BERSATU yang membuat pengumuman pelbagai, dengan mengisytiharkan bahagian partinya sudah pun bubar, sedangkan hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) saja yang boleh berbuat demikian.
“Jadi, kenyataan yang dibuat sesetengah pihak itu tidak tepat. Tujuannya tidak lain adalah untuk memberikan gambaran kononnya kita berhadapan dengan masalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Pengamal Media di sini, malam ini.
Pada masa sama, Muhyiddin turut meminta pimpinan PN supaya yakin bahawa BERSATU mampu untuk menguruskan soal dalaman parti itu.
“Kita mengambil satu tindakan yang pantas untuk menyelesaikan masalah kita.
“Bila berlaku peristiwa baru-baru ini, ada kelompongan dari segi kedudukan kepemimpinan di peringkat negeri dan bahagian, sebuah jawatankuasa yang dipimpin Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil langkah pantas, agak lebih daripada jangkaan saya, cepat sekali untuk menyusun semula barisan kepemimpinan di negeri dan kawasan yang terbabit,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin memaklumkan, satu Sekretariat Bersama bagi memantapkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) akan ditubuhkan, yang akan dianggotai Setiausaha Agung daripada lebih 10 parti di bawah gabungan yang baru dibentuk itu.
IPR katanya, mesti diterjemahkan kepada satu hubungan yang lebih bermakna pada masa hadapan dan kemungkinan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bersama PN untuk jangka masa panjang.
“Saya selaku salah seorang Timbalan Pengerusi PN akan membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi PN untuk mempertimbang bagaimana bentuk kerjasama yang harus kita jalin.
“Ia bukan setakat yang sudah sedia ada secara longgar saja tetapi khususnya untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Antara pertimbangan yang mungkin kita buat adalah sama ada IPR boleh menyertai PN secara langsung atau menubuhkan pakatan pilihan raya dalam masa pilihan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




