Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka dan menarik balik dakwaan yang beliau mempertahankan kebajikan warga asing dalam isu subsidi RON95.
Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau berkata sekiranya tiada permohonan maaf, Ahli Parlimen Pagoh itu mahu merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Tuntut PM Anwar mohon maaf
“Saya cuma minta Tambun (Anwar) mohon maaf dan tarik baliklah keterlanjuran kata-kata beliau yang telah menyebabkan fitnah ke atas diri saya.
“Saya akan terima maaf dia sekarang juga,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Anwar dilaporkan mempersoalkan kenyataan segelintir Ahli Parlimen pembangkang mengenai penyelarasan subsidi yang dikatakan akan membebankan warga asing.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bangkit mendesak Anwar menamakan individu yang dimaksudkan.
Menjawab desakan tersebut, Anwar menjelaskan bahawa kenyataan mengenai penyelarasan subsidi yang dikaitkan dengan warga asing itu sebenarnya datang daripada Ketua Pembangkang sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Artikel lain: Isu subsidi RON95: PM Anwar arah MCMC siasat dakwaan Muhyiddin pertahan warga asing
Tuntut PM Anwar mohon maaf
“Yang Berhormat (Rosol), ketua sendiri pun tak baca, itu kenyataan ketua sendiri. Pagoh (Muhyiddin). Lain kali baca dahulu sebelum datang Parlimen.
“Jangan pakai hentam sahaja, kalau di luar (Parlimen) bolehlah, saya tak jawab, tapi ini saya sudah jawab.
“Baca kenyataan YB Pagoh. Mengapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengenai pengurusan hutang negara oleh Kerajaan MADANI.
Sumber: Free Malaysia Today (Mohamad Fadli)