Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru rakyat agar menyambut pengumuman bantuan kerajaan dengan rasa syukur dan bukan dengan amarah atau cacian yang tiada penghujung.
Pengumuman tersebut seharusnya disambut bukan dengan amarah
Memetik laporan daripada Berita Harian, langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengumumkan pelbagai inisiatif seperti bantuan tunai RM100, penurunan harga minyak RON95 serta tiada kenaikan tol perlu dilihat sebagai usaha murni untuk membantu rakyat dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Penurunan harga minyak RON95, bantuan tunai Rahmah RM100 dan meluaskan bantuan Rahmah untuk mengurangkan bebanan hidup rakyat merupakan langkah berani demi kepentingan rakyat terbanyak.
“Begitu juga pengumuman tiada kenaikan tol memberikan kelegaan kepada pengguna kenderaan yang menggunakan perkhidmatan lebuh raya utama di negara ini.
“Kita berharap pengumuman Perdana Menteri ini haruslah disambut dengan perasaan bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan atas izin Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.
Patut sambut dengan bersyukur, bukan dengan amarah
Dalam pada masa yang sama Dr Mujahid menegaskan, usaha kerajaan ini hanya mampu dilakukan dengan adanya kestabilan politik, ekonomi yang mampan serta rakyat yang bersatu menyokong pentadbiran yang mementingkan kebajikan umum.
“Perdana Menteri menyahut segala cabaran itu dengan mengutamakan kepentingan rakyat, membantu meringankan bebanan hidup rakyat terbanyak dan memulangkan lebihan pendapatan yang dijana melalui strategi perbelanjaan berhemah untuk kebajikan rakyat.”
Artikel lain: Sanusi percaya rakyat akan guna modal RM100 untuk hadir perhimpunan ‘Turun Anwar’
Pembangkang perlu henti mengkritik membuta tuli
Beliau juga menempelak pihak pembangkang yang menurutnya lebih gemar mengkritik tanpa memberikan sebarang cadangan atau penyelesaian yang membina.
“Pihak pembangkang haruslah berhenti daripada terus mengkritik dan menghentam secara membuta tuli, menjalankan gerakan ‘Turun Anwar’ sedangkan tidak pernah memberikan sebarang cadangan, syor dan idea-idea progresif untuk memajukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat,”
Jelasnya lagi, dalam suasana ekonomi dan geopolitik dunia yang tidak stabil, rakyat seharusnya bersatu tenaga, fikiran dan semangat demi mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara yang telah dikecapi bersama.