sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad berbasikal negara akan mempertaruhkan barisan pelumba baharu bagi acara pecut elit berpasukan untuk memburu pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang akan berlangsung di Filipina dari 25 hingga 31 Mac nanti.
Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley berkata, barisan jurulatih sudah melakukan beberapa persediaan termasuk sesi pemilihan bagi memilih pelumba benar-benar bersedia membawa cabaran negara.
Katanya, setiap atlet menunjukkan komitmen tinggi sekali gus membuka peluang kepada pelumba baharu untuk mencabar kedudukan atlet sedia ada dalam acara pecut berpasukan.
“Ya, kami sudah mengadakan perlumbaan pemilihan bagi lelaki dan wanita. Anda akan melihat barisan baharu dalam acara pecut berpasukan di ACC dan mungkin juga di Piala Dunia.
“Persaingan sihat dengan muka baharu yang mencabar tempat sedia ada menunjukkan pasukan berada pada tahap baik. Saya tidak akan dedahkan nama, tetapi anda akan melihat wajah baharu,” katanya.
Untuk makluman, jaguh pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang antara yang pasti berada dalam barisan pelumba itu sambil akan dibantu oleh pelumba muda.
Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat gangsa pada ACC 2025 yang dibarisi oleh Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena.
Sementara itu, Beasley memberi isyarat positif mengenai keadaan semasa Muhammad Shah Firdaus Sahrom apabila dia semakin pulih selepas kecederaan lutut dialaminya sebelum ini.
Menurutnya, tulang rawan lutut Shah Firdaus sudah pulih sepenuhnya, namun masih terdapat sedikit pengecutan otot di bahagian sekeliling lutut yang memerlukan masa untuk kembali ke tahap terbaik.
“Tulang rawannya sudah pulih sepenuhnya. Namun masih terdapat sedikit pengecutan otot di sekitar lutut. Keadaannya kini sekitar 85 peratus kembali kepada prestasi asal.
“Beliau mungkin belum bersedia untuk Piala Dunia di Malaysia, tetapi akan bersedia untuk temasya besar hujung tahun nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




