Paris: Pasukan Tottenham yang melakukan banyak perubahan melakar kemenangan 2-1 ke atas Ferencvaros dari Hungary di tempat lawan dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi.
Gol dari Pape Sarr dan Brennan Johnson sebelum dan selepas separuh masa cukup untuk memberikan Spurs kemenangan kedua dalam dua perlawanan dalam pertandingan musim ini, walaupun Barnabas Varga menjaringkan gol tunggal untuk pasukan tuan rumah.
“Saya sangat gembira. Ia tidak pernah mudah untuk bermain di tempat lawan di Eropah.
“Anda dapat melihat suasana malam ini, ada banyak perkara yang perlu dihadapi dan juga dengan empat pemain remaja dalam pasukan,” kata pengurus Spurs, Ange Postecoglou.
Pasukan Spurs yang kurang berpengalaman bermula dengan sedikit perlahan dan Ferencvaros menyangka mereka mendahului pada minit ke-18 melalui Varga, tetapi VAR mengesahkan bahawa terdapat kedudukan ofsaid dalam gerakan itu.
Kelab Liga Perdana itu memecahkan kebuntuan pada minit ke-23 apabila Sarr menjadi satu-satunya pemain berada di dalam kawasan Ferencvaros yang dapat mengawal keadaan dengan baik.
Pasukan tuan rumah gagal mengawal itu membolehkan Sarr meledak untuk gol Spurs.
Ketika Ferencvaros mula memberi ancaman pada penghujung perlawanan, Johnson bangkit untuk melebarkan jurang gol buat Spurs apabila menjaringkan gol kelimanya dalam lima perlawanan dengan penyudahan kaki kiri pada minit ke-86 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Varga bagaimanapun memberikan gol tunggal buat tuan rumah dengan menjaringkan gol pada minit ke-90, menjadikan penamat perlawanan lebih mendebarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




