asyikin.mat@hmetro.com.my
Wanita ini satu-satunya pakar toksikologi di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij ‘American Board of Toxicology’ (ABT) pada 25 November lalu.
Pencapaian ini sekali gus mengiktiraf kepakarannya di peringkat global dan meletakkan dirinya sebaris dengan tokoh toksikologi terkemuka dunia.
Bagi Prof Madya Dr Razinah Sharif, kejayaan itu sangat bermakna kerana ia satu pencapaian peribadi selain kepuasan dalam kerjaya sebagai pakar toksikologi.
Dr Razinah berkata, untuk berada pada tahap ini, ia bukan satu perjalanan mudah kerana beliau perlu menduduki peperiksaan yang dikategorikan antara paling sukar di dunia.
“Untuk mendapat kelayakan menduduki peperiksaan ABT juga sukar kerana calon perlu melalui beberapa proses rumit dan mencabar.
“Sebenarnya, peratusan untuk lulus peperiksaan ini sangat rendah. Tetapi, Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya berjaya (lulus).
“Ada seorang lagi saintis wanita rakyat Malaysia yang lulus peperiksaan ABT dua tahun lalu, namun kini bekerja di Australia,” katanya.
Untuk rekod, Dr Razinah turut mendapat pengiktirafan ‘European Registered Toxicologist’ beberapa tahun lalu.
Dr Razinah yang berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, minat mendalamnya terhadap bidang toksikologi bermula ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana.
“Penyelidikan ketika itu ialah meneliti kesan sampingan (risiko barah) daripada pengambilan ikan masin dan belacan.
“Kajian itu membuka mata saya berkaitan bahaya tersembunyi dalam makanan seharian yang sering dianggap selamat.
“Minat itu berterusan sehingga ke pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang memfokuskan penelitian kesan toksik makanan terhadap kesihatan manusia dan kesan jangka panjang kepada sistem genetik tubuh,” katanya.
Menurut Dr Razinah, toksikologi masih dianggap bidang kurang popular, terutama dalam kalangan wanita.
“Tetapi, ia sangat penting untuk keselamatan makanan, pencemaran alam sekitar dan penilaian risiko bahan kimia.
“Cabaran terbesar wanita dalam bidang toksikologi ialah kerja lapangan, penyelidikan forensik dan persepsi masyarakat bahawa bidang ini lebih sesuai untuk lelaki.
“Saya percaya, kesamaan gender penting untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang toksikologi.
“Bagi saya, bidang toksikologi bukan sahaja kerjaya, tetapi misi untuk melindungi kesihatan manusia melalui ilmu dan kajian saintifik,” katanya.
Dr Razinah menekankan bahawa bidang ini bukan sekadar teori, tetapi memberi impak nyata terhadap kesihatan manusia.
Beliau yang juga Timbalan Persatuan Toksikologi Malaysia (MySOT) berkata, konsep asas toksikologi ialah, dos menentukan sama ada sesuatu bahan menjadi racun atau sebaliknya dan perkara itu sering menyebabkan salah faham orang ramai.
“Pengambilan suplemen seperti vitamin C yang berlebihan boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan.
“Begitu juga pewarna dan bahan tiruan dalam keju yang sering digunakan. Ia boleh memberi risiko Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif (ADHD) kepada kanak-kanak,” katanya.
Dr Razinah berkata, dalam kehidupan seharian pula, wanita sering terdedah kepada bahan toksik dalam kosmetik, syampu dan krim yang boleh mengandungi merkuri atau paraben.
“Kesannya tidak dirasai serta-merta, tetapi boleh muncul selepas lima hingga 10 tahun.
“Kajian terkini saya menumpukan bahan ‘per- dan polifluoroalkil’ (PFAS) iaitu bahan kimia yang ditemui dalam char kue tiau mengandungi kerang.
“PFAS boleh mengganggu sistem endokrin manusia dan dikaitkan dengan masalah kesuburan, barah dan sistem imun.
“Kerang adalah hidupan marin yang menyerap logam berat termasuk PFAS,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Razinah berharap, lebih ramai wanita menjadi pakar toksikologi bertauliah untuk memperkukuhkan bidang berkenaan di Malaysia.
“Saya ingin menekankan kepentingan menggunakan media sosial untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat, bukan sekadar hiburan atau meraih populariti.
“Saya mahu wanita berdikari, bijak dan menjadi ejen perubahan dalam bidang sains, kesihatan serta masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




