Kuala Lumpur: Filem Munajjim: Sekutu Iblis terbitan Yusrych Global melakar sejarah tersendiri apabila berada dalam senarai filem seram nombor satu di pawagam ketika ini.
Penerbitnya Yusry Makmor bersyukur diatas pencapaian itu dan berterima kasih kepada penonton yang hadir ke pawagam menyokong naskhah arahan Faizul A Rashid itu.
Menurutnya, karyawan seni ketika ini berdepan saingan sengit daripada lambakan filem luar namun dengan sokongan daripada pelbagai lapisan penonton terhadap filem seram tempatan ia masih pada tahap yang sangat baik.
“Pihak pawagam terus memberi kerjasama yang sangat baik dengan memberikan lokasi selain jadual penayangan yang bagus buat penonton.
“Kami percaya filem ini berpotensi besar dan boleh mencatat kutipan yang memberangsangkan,” katanya.
Tambahnya, pihak produksi ingin mengajak masyarakat yang belum lagi menonton filem ini agar memberi peluang kepada diri sendiri untuk merasai pengalaman menerusi naskhah yang diinspirasikan dari kisah benar ini.
“Penonton akan merasai pengajaran yang ingin disampaikan kerana perlu berhati-hati apabila mempercayai ilmu sihir yang masih kekal ada walau zaman yang serba moden kini.
“Penampilan pelakon popular tanah air antaranya Uqasha Senrose, Farid Kamil, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis, Che Puan Juliana Evans serta pelakon kanak kanak adik Aqil juga berjaya melaksanakan watak masing-masing dengan cukup berkesan dan cemerlang dalam filem ini,” katanya.
Munajjim: Sekutu Iblis ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 31 Julai lalu mengisahkan amalan dua beranak yang taksub dengan bomoh hingga mengundang padah apabila si anak menggunakan ilmu hitam untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang mengganggu rumah tangga mereka dengan sihir.
Begitupun ilmu hitam itu berpatah balik dan mengancam nyawa mereka sekeluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




