Muncul Dengan Raya Pop-Up Store, RR By Rizman Ruzaini Terus Pikat Hati Peminat Fesyen

Muncul Dengan Raya Pop-Up Store, RR By Rizman Ruzaini Terus Pikat Hati Peminat Fesyen

RR by Rizman Ruzaini terus memikat hati pencinta fesyen dengan kualiti dan rekaan eksklusif yang menjadi identiti jenama ini.

Tahun ini, mereka sekali lagi tampil dengan koleksi istimewa yang pasti menjadi pilihan utama untuk sambutan Syawal.

Sebagai pelengkap gaya Aidilfitri, RR by Rizman Ruzaini memperkenalkan koleksi Empress serta kurung pleated asas yang direka khusus untuk menonjolkan keanggunan pemakai.

Menambah keterujaan, jenama ini turut melancarkan RR Raya Pop-Up Store di IOI City Mall, Putrajaya, memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih eksklusif dan berbeza kepada pelanggan setia mereka.

Tidak hanya menawarkan koleksi menarik, pop-up store ini turut menyediakan diskaun sehingga 70 peratus bagi pelbagai koleksi terdahulu dan baharu, menjadikannya destinasi wajib bagi mereka yang ingin mendapatkan busana idaman pada harga lebih berpatutan.

Menurut Rizman, ini merupakan kali pertama pop-up store mereka dibuka di IOI City Mall, dan sambutannya sangat luar biasa.

“Kami memang sudah mempunyai butik fizikal di pusat beli-belah ini, tetapi ini kali pertama pop-up store RR by Rizman Ruzaini dibuka di sini.

“Kami akan berada di sini selama sebulan dengan pelbagai tawaran istimewa. Jadi, bagi mereka yang mahukan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa dan eksklusif, bolehlah datang ke sini untuk mendapatkan koleksi kami,” katanya.

Sebagai jenama yang menjadi pelopor fesyen Syawal, RR by Rizman Ruzaini terus memperkukuhkan kedudukannya dengan menawarkan rekaan eksklusif pada harga berpatutan.

Rizman turut berkongsi jenama ini akan mengalami evolusi besar tidak lama lagi.

“Kami sangat menghargai sokongan pelanggan setia RR by Rizman Ruzaini. Tahun ini, kami telah merancang beberapa perubahan besar bagi memastikan jenama ini terus relevan sepanjang tahun, bukan hanya ketika musim perayaan,” jelasnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, koleksi Empress yang diperkenalkan kali ini hadir dengan rekaan eksklusif dan dalam kuantiti terhad.

“Kami mencipta koleksi ini dengan inspirasi daripada pelanggan kami sendiri. Saya melihat mereka sebagai individu yang anggun dan berkarisma, ibarat seorang maharani. Oleh itu, koleksi Empress ini dihasilkan bagi melengkapkan gaya mereka dengan penuh elegan,” tambahnya.

Bagi mereka yang berada di Kuala Lumpur, koleksi RR by Rizman Ruzaini juga boleh didapati di Absolut Bazaar @ Mitec pada 21 Mac ini.

Scroll to Top