Pelakon, Reen Rahim tampil memberi pandangan peribadinya susulan dakwaan personaliti media sosial, Mekyun yang menyifatkan ramai pempengaruh bersikap sombong di acara tertentu.
Isu itu timbul apabila pemilik nama Wee Yun Nee, 29, meluahkan rasa kurang selesa menerusi platform Threads selepas menghadiri beberapa majlis, khususnya acara kecantikan.
Menurutnya, suasana di majlis berkenaan sering dipenuhi pempengaruh yang didakwa ‘feeling’ dan tidak mesra antara satu sama lain.
“Kenapa kalau pergi event, terutama majlis kecantikan, mesti ada ramai pempengaruh yang ‘feeling-feeling’? Vibe macam terpaling ‘hot’, lepas itu langsung tak peramah,” tulisnya.
Namun, kenyataan itu tidak dipersetujui Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 37, yang melihat isu tersebut dari sudut berbeza.
Menurut Reen, tanggapan negatif terhadap orang lain adakalanya berpunca daripada perasaan sendiri tanpa disedari.
“Kalau kita rasa semua orang macam itu, sebenarnya hati kita yang begitu tanpa sedar. Kita sendiri mungkin insecure sampai nampak semua benda negatif,” katanya.
Dalam pada itu, Reen turut berkongsi nasihat kepada pempengaruh yang kerap menghadiri majlis sosial supaya kembali kepada tujuan asal kehadiran mereka.
“Tips, tetapkan niat kenapa kita hadiruntuk menyokong atau bersilaturrahim. Bila kita datang dengan niat yang betul, aura positif itu akan datang dengan sendiri.
“Automatik, orang yang tak kenal pun akan rasa selesa dan senang nak dekat dengan kita,” katanya.





