Munich: Impian Jerman untuk kembali menganjurkan temasya terbesar dunia semakin hampir menjadi kenyataan apabila majoriti penduduk Munich mengundi setuju untuk membida Sukan Olimpik Musim Panas pada tahun 2036, 2040 atau 2044.
Dalam referendum yang berlangsung semalam, sekitar 62 peratus pengundi di ibu negeri Bavaria itu memberi sokongan kepada cadangan kerajaan bandar untuk menghantar bidaan rasmi.
“Munich jelas memilih ‘ya’,” kata Datuk Bandar Dieter Reiter dalam kenyataannya, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai tanda kepercayaan rakyat terhadap keupayaan bandar berkenaan.
Presiden Persatuan Sukan Negeri Bavaria (BLSV), Joerg Ammon, pula menyifatkan keputusan itu sebagai ‘hasil impian’, menandakan kebangkitan semula semangat Olimpik di Jerman selepas beberapa kegagalan lalu.
Referendum itu turut mencatat sejarah baharu dengan penyertaan 39 peratus daripada 1.1 juta pengundi berdaftar, menjadikannya kadar keluar mengundi tertinggi dalam sejarah Munich mengatasi rekod 37.5 peratus yang direkodkan pada 2001 semasa undian pembinaan Allianz Arena.
Kali terakhir Munich menjadi tuan rumah Olimpik ialah pada tahun 1972, yang juga meninggalkan memori tragis dengan insiden serangan pengganas ketika itu. Namun kali ini, bandar berkenaan tampil dengan visi baharu temasya hijau, selamat dan mampan.
Munich menjadi bandar pertama di Jerman yang mengadakan undian untuk mengukur sokongan rakyat terhadap bidaan Olimpik. Tiga lagi wilayah membabitkan Berlin, Hamburg dan Ruhr dijangka mengadakan referendum masing-masing pada tahun depan sebelum Konfederasi Sukan Olimpik Jerman (DOSB) memilih calon rasmi negara menjelang hujung 2026.
Jerman sebelum ini gagal tujuh kali untuk mendapatkan hak penganjuran Olimpik, termasuk bidaan Munich sendiri untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang ditolak rakyat pada 2013.
Namun sokongan kali ini menunjukkan perubahan sikap ketara, walaupun referendum itu menelan kos sekitar €6.7 juta (RM34.5 juta) dengan €1.8 juta daripadanya digunakan bagi kempen maklumat kepada penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




