rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Ketika masih belum meraih kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ketua jurulatih, Xisco Munoz menaruh harapan tinggi agar kesebelasan utama yang diturunkan kekal fokus sepanjang 90 minit permainan apabila berdepan Chengdu Rongcheng FC dalam aksi di Stadium Phoenix Hill, Chengdu petang ini,
Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, JDT harus berusaha mengintai peluang memburu tiga mata walaupun mengakui bakal berdepan tugas sukar apabila menentang skuad kendalian Seo Jung-won yang dibarisi ramai pemain skuad kebangsaan China.
“Pertamanya saya rasa perlawanan esok (petang ini) aksi yang sukar, namun kita perlu terus kekal fokus seperti mana perlawanan sebelum ini.
“Kita juga melawat venue perlawanan dan menjangkakan suasana perlawanan yang sengit berdasarkan kepada persiapan dilakukan pihak lawan terutamanya melibatkan keadaan padang di stadium.
“Apa pun, pemain diharap dapat memberikan aksi terbaik bagi berdepan kesebelasan pemain lawan yang pastinya menampilkan ramai pemain berkualiti,” kata Munoz
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan pasukan, tonggak pertahanan Harimau Selatan, pemain pertahanan, Eddy Israfilov menegaskan betapa mereka hanya mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang skuad yang bergelar The Panda
“Tidak ada apa yang boleh diperkatakan mengenai persiapan pasukan. Kami bersedia dengan cukup baik untuk perlawanan ini. Oleh itu kita tunggu sahaja untuk perlawanan ini bermula,” kata Israfilov.
© New Straits Times Press (M) Bhd




