Selebriti dan usahawan terkenal, Ifa Raziah pengsan di acara Starvendors Mega Raya Fest 2025 di KL Base Exhibition Center, Sungai Besi , sebentar tadi.
Kejadian berlaku ketika Ifa sedang bersiap untuk ditemu bual oleh pihak media selepas majlis pelancaran festival terbabit.
Menurut pasukan perubatan yang berada di lokasi, tekanan darah Ifa didapati tidak stabil ketika pemeriksaan awal dijalankan.
Difahamkan, Ifa sebelum itu sibuk mengendalikan festival berkenaan sepanjang hari tanpa rehat.
Sebagai pengasas dan Pengarah Urusan Starvendors, Ifa merupakan individu di sebalik kejayaan festival terbabit yang menjadi acara tahunan yang menghimpunkan ratusan usahawan tempatan menjelang musim perayaan.
Difahamkan, komitmen tinggi Ifa dalam memastikan kelancaran festival terbabit dikatakan menjadi faktor keletihan melampau sehingga menjejaskan kesihatannya.
Terdahulu, sebelum insiden itu terjadi, festival itu baru sahaja dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Festival selama 80 jam tanpa henti itu, berlangsung sejak Khamis dan akan berakhir Isnin ini.
Selain Fahmi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib turut hadir di acara perasmian tersebut.