Murahnya sebuah pencemaran

Murahnya sebuah pencemaran

PENJANAAN sisa pepejal rakyat Malaysia diunjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meningkat sehingga 17.03 juta tan metrik pada 2035 berbanding 15.2 juta tan yang dijana pada tahun ini.

Pertambahan populasi, kepesatan urbanisasi, industrialisasi, peningkatan taraf ekonomi serta perubahan gaya hidup rakyat Malaysia dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan janaan sisa pepejal saban tahun. Ini bukan cerita luar negara. Ini Malaysia. Ini halaman rumah kita sendiri.

Lebih membimbangkan, perbuatan membuang sampah merata hanya dikenakan denda maksimum RM500, sebagai contohnya di Johor. Sebagai perbandingan, Singapura mengenakan penalti hingga SGD 10,000 (RM35,000) untuk kesalahan pertama dan sehingga SGD 100,000 (RM350,000) untuk kesalahan berulang (NEA Singapore, 2024). Di Korea Selatan, denda pelupusan haram boleh mencecah KRW 100 juta (RM350,000) dan di Tokyo, Jepun, denda harian terhadap pemilik premis boleh mencecah ¥300,000 (RM10,000) (Tokyo Metropolitan Government, 2023).

Nilainya bukan semata-mata tentang wang, tetapi berkaitan isyarat serius kerajaan terhadap kelakuan tidak bertanggungjawab.

Kita tidak kekurangan dasar. Malaysia telah mewajibkan pengasingan sisa di punca sejak 2016 di bawah SWM, tetapi pematuhannya masih rendah. Tanpa pengasingan, sisa yang boleh dikitar semula tercemar dan kos rawatan meningkat.

Di Korea dan Jepun, pengasingan sisa adalah budaya harian, bahkan pelajar sekolah rendah pun tahu membezakan lima jenis sampah. Di sini, ramai dewasa masih menganggap ‘sampah ialah apa-apa yang boleh dilempar dalam satu tong besar.’

Kerajaan Johor patut dipuji kerana sekurang-kurangnya cuba menggerakkan denda, tetapi persoalannya, adakah RM500 cukup untuk mengubah tingkah laku? Jika satu pelanggaran hanya dikenakan penalti serendah ini, apakah isyarat yang kita sampaikan? Bahawa mencemarkan sungai dan jalan awam adalah kesalahan kecil? Bahawa kita boleh bayar dan ulang lagi?

Dalam masyarakat bandar yang sudah biasa dengan tong sampah melimpah, parit tersumbat dan plastik di longkang, perubahan tidak boleh bergantung kepada kesedaran semata-mata. Sistem perlu menegakkan norma. Undang-undang yang tegas bukan untuk menghukum tanpa belas, tetapi untuk membentuk tabiat dan rasa tanggungjawab bersama.

Denda yang tinggi, jika dikuatkuasakan dengan konsisten dan adil, akan mendidik lebih ramai berbanding kempen seribu poster.

Namun, tidak cukup dengan kompaun tinggi. Kita perlukan sistem yang menyokong pematuhan termasuk lebih banyak tong pengasingan, pusat kitar semula mesra pengguna dan pemantauan digital.

Di negara maju, pelaporan awam melalui aplikasi dan kamera pemantau menjadi norma. Di sini, aduan masih bergantung kepada WhatsApp majlis daerah, lambat, tidak direkod dan kadangkala tidak diambil tindakan. Kerajaan tempatan tidak boleh terus bimbang dianggap ‘tidak popular’ bila mahu tegas.

Kebersihan bukan isu kosmetik, ia soal kesihatan, reputasi dan masa depan. Sebuah bandar yang bersih mencerminkan kecekapan pentadbiran. Dan rakyat akan belajar menghargai kebersihan bila sistem tegas, konsisten dan telus.

Kita juga tidak boleh terus menyalahkan masyarakat semata-mata. Jika tong tidak dikosongkan kerap, sistem kutipan tidak teratur, dan tiada tindakan terhadap pembuang haram, maka sukar untuk mendidik orang ramai supaya mematuhi peraturan. Undang-undang mesti disokong oleh logistik dan komunikasi yang baik.

Sebagai negara yang sedang bercakap tentang ekonomi sirkular, kelestarian dan pelaburan hijau, kita perlu buktikan yang kita serius tentang isu asas seperti pengurusan sampah. Jika tidak, kita bukan sahaja kehilangan kelestarian, tetapi juga kepercayaan awam. Masyarakat akan hilang harapan bila melihat undang-undang tidak menegakkan nilai yang betul.

Akhirnya, kita perlu tanya dengan jujur, adakah RM500 cukup untuk menebus pencemaran sungai yang menelan ratusan ribu ringgit untuk dibersihkan?

Oleh itu, kepentingan pembaharuan dasar, penggunaan teknologi hijau serta pembabitan komuniti dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal negara selari dengan aspirasi Malaysia Madani. Jika tidak, maka harga kebersihan mesti dinaikkan, bukan hanya pada kertas dasar, tetapi pada realiti penguatkuasaan.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Felo Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top