Mural Mat Kilau tarikan di Art Street Kuantan

Mural Mat Kilau tarikan di Art Street Kuantan

KUANTAN – Lukisan wajah Mat Kilau dan Tok’ Bahaman menghiasi dinding bangunan rumah kedai di Jalan Lebai Ali, di sini bagi menarik golongan muda untuk menghayati sejarah negeri Pahang serta menghargai perjuangan pahlawan dahulu.

Selain itu, usaha ini bagi menghargai perjuangan pahlawan Melayu dalam membebaskan negara daripada penjajahan British.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, lukisan ini menggunakan warna Bendera Malaysia iaitu, biru, merah, kuning dan putih serta dilukis oleh dilukis oleh lima anak tempatan iaitu Mohd Amir Farouk @ Maarof, Azri Azahar, Kamal Mohd Idris, Muhammad Ikmal Abdul Manan dan Mohd Nordin Mohd Yusof.

Hamdan Hussin (Kanan) bersama cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar bergambar di hadapan mural Tokoh Pahlawan di Jalan Lebai Ali, di sini hari iniHayati

Lukisan pada bangunan rumah kedai ini ditaja oleh Alam Flora Sdn Bhd dengan kos RM45,000.

”Pemilihan Mat Kilau sebagai tema lukisan mural di sini amat sesuai dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan rumah kedai sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar yang menjadi warisan bandar Kuantan,” katanya selepas merasmikan Mural Tokoh Pahlawan bersama penaja, Alam Flora Sdn Bhd yang diwakili Timbalan Pengurus Besar Operasinya, Raja Kamal Azizul Raja Ibrahim.

Cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar atau dikenali sebagai Pak Andak juga hadir dalam majlis itu.

Menurut Hamdan, lukisan itu mengambil masa 2 minggu untuk disiapkan adalah sebahagian daripada Projek Kuantan Art Street di bawah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Dengan pertambahan mural Tokoh Pahlawan, Projek Kuantan Art Street kini mempunyai sejumlah 74 lukisan mural di sepanjang 1.3 kilometer (km) yang disiapkan dalam Fasa 2 sepanjang dua tahun ini.

“Fasa 3 dijangka bermula hujung tahun 2022 dengan tambahan elemen baharu sepanjang 900 meter Jalan Mahkota dan Jalan Besar yang menjadi warisan bandar Kuantan.”

“Usaha ini sebahagian daripada inisiatif ‘Meremajakan Kuantan Old Town’ seterusnya  menggalakkan interaksi sosial, merancakkan pelancongan urban dan meningkatkan perniagaan dan ekonomi Kuantan,” kata beliau.

Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Raja Kamal Azizul Raja Ibrahim

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Raja Kamal Azizul Raja Ibrahim berkata, projek mural Tokoh Pahlawan itu diibaratkan sebagai ‘grand opening  bagi program”1 Supervisor 1 Transformation Area (1S1T) syarikat itu bagi tahun ini.

“Melalui program 1S1T yang telah dijalankan sejak enam tahun lalu, Alam Flora telah menjayakan sekitar 20 mural di seluruh negara,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar atau dikenali sebagai Pak Andak terharu dengan penghasilan karya wajah ‘aki’ nya itu.

“Alhamdulillah. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak MBK dan Alam Flora untuk mural arwah aki Mat Kilau yang kini menjadi fenomena hingga mengangkat balik nama arwah aki Kilau.

”Terima kasih kepada semua yang terlibat,” luahnya yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Garuda. – MalaysiaGazette