mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah, Murali Abdullah, 62, melahirkan kesyukuran apabila impian untuk melihat kedua-dua anaknya berkahwin mengikut syariat Islam tercapai.
Perkara ini dikongsikan Murali atau Mohammed Murali Abdullah menerusi media sosialnya.
“Impian saya sudah tercapai akhirnya. Kedua-dua anak saya menikah cara Islam. 100 peratus ISLAM.
“Anak pertama saya nikah enam tahun dulu. Hari ini anak perempuan saya. Puteri Nur Alysa menikah. Alhamdullilah.
“Saya terus mengenang kembali bagaimana satu masa dahulu saya berugama Hindu kini saya menjadi Hamba ALLAH. Tidak ada lagi pernikahan ala-ala budaya Kristian ataupun budaya Hindu. ALLAHUAKBAR..,” tulisnya.
Terdahulu pada Jun lalu, Murali dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung dan dirawat selama 13 hari sebelum dibenarkan keluar.
Ketika itu, Murali memuat naik gambarnya yang dijaga oleh Puteri Nur Alysa, 24, di HKL. Kecantikan Puteri Nur Alysa turut menarik minat segelintir netizen dan ada yang mengusik mahu menjadi menantunya.
Menerusi Harian Metro sebelum ini, Murali dipetik berkata, dia tidak mencampuri urusan pilihan hati anaknya.
Selain Puteri Nur Alysa, anak lelaki Murali, Muhammad Emil Mahadil, 28, juga sudah berkahwin dengan pasangannya yang belajar di Mesir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




