Murid tahun satu dakwa dipukul, guru besar ditahan polis

Murid tahun satu dakwa dipukul, guru besar ditahan polis

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini ditemui dalam keadaan trauma dan cedera dalam tandas sekolah selepas mendakwa dipukul guru besar sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, sejurus menerima laporan polis dibuat bapa mangsa, suspek lelaki berusia 48 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek itu disyaki memukul mangsa yang berusia tujuh tahun itu sehingga cedera ketika di kantin sekolah jam 7.39 pagi, Selasa lalu.

“Pada 10 Mac lalu, jam 9.46 pagi, kita menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun memaklumkan anak lelakinya berusia tujuh tahun dipukul oleh suspek iaitu guru besar di sekolah tempat anaknya belajar.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 4.55 petang, polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati dia negatif dadah.

Katanya, suspek direman selama tiga hari berakhir semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik ibu saudara mangsa yang memaparkan keadaan kanak-kanak itu ketika ditemui.

Kanak-kanak itu dikatakan ke sekolah seperti biasa pada hari kejadian dihantar oleh abang kandungnya sebelum beberapa jam kemudian, keluarga mendapat panggilan yang memaklumkan kanak-kanak itu ditemui dalam tandas sekolah dalam keadaan cedera.

“Kakak saya dan suaminya terus bergegas ke sekolah dan mendapati anak mereka dalam keadaan trauma, dengan luka dan darah di bahagian mulut serta muka yang bengkak.

“Anak saudara saya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut.

“Dia memberitahu dipukul oleh guru besar sekolah,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top