Murray kecewa gagal bantu Djokovic ketika era latihannya

Murray kecewa gagal bantu Djokovic ketika era latihannya

London: Bekas bintang tenis Britain, Andy Murray mengakui beliau ‘kecewa’ dengan keputusan yang dicapai Novak Djokovic sepanjang tempoh singkat berada dalam pasukan kejurulatihan bekas seterunya itu.

Murray menyertai staf kejurulatihan Djokovic pada November 2024, hanya tiga bulan selepas legenda Scotland berusia 38 tahun itu menggantung raket pada Sukan Olimpik Paris.

Namun kerjasama mereka hanya bertahan sekitar enam bulan, merangkumi Terbuka Australia 2025 dan tiga kejohanan lain.

“Saya mengenang kembali dan saya gembira melakukannya,” kata Murray kepada The Tennis Podcast.

“Ia pengalaman luar biasa. Walaupun sekejap, saya berikan segalanya.

“Saya kecewa. Saya rasa tidak dapat keputusan yang saya harapkan untuk dia.

“Tapi ia peluang baik kerana memang saya mahu melatih suatu hari nanti. Kalau saya tak ambil peluang itu, mungkin saya akan menyesal dan fikir, ‘Mesti menarik dan banyak yang boleh saya belajar’,” kata Murray, juara tiga Grand Slam yang bermain dalam era Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal.

Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menewaskan Carlos Alcaraz, tetapi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi empat terbaik menentang Alexander Zverev.

Pemain Serbia berusia 38 tahun itu kemudian mengalami dua kekalahan pusingan pertama di Qatar dan Indian Wells, sebelum tunduk kepada remaja Czech, Jakub Mensik dalam final Terbuka Miami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top