Paris: Andy Murray mengesahkan dia akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus mengakhiri satu lagi episod dalam generasi emas tenis.
Pemain berusia 37 tahun itu yang dua kali memenangi pingat emas Olimpik merancang untuk bermain dalam acara perseorangan dan beregu pada penampilan kelima Olimpik.
“Hadir di Paris untuk kejohanan terakhir saya dan Olimpik,” tulis juara tiga kali Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia itu di media sosial.
“Bertanding mewakili Great Britain pasti menjadi minggu penuh kenangan dalam karier saya dan saya bangga dapat bermain kali terakhir.”
Murray dibelenggu kecederaan pada beberapa tahun kebelakangan dan kini menduduki ranking ke-121 dunia.
Pemain Scotland itu bermain menggunakan pinggul besi sejak 2019 dan mengalami masalah buku lali teruk pada awal tahun ini sebelum menjalani pembedahan membuang cyst di tulang belakang yang menyebabkan dia tidak bermain acara perseorangan di Wimbledon.
Sebaliknya, dia berpasangan dengan adiknya, Jamie dalam acara beregu dan tewas di pusingan pertama sebelum mengucapkan selamat tinggal dalam suasana penuh emosi.
Murray terkenal kerana menamatkan penantian 77 tahun Britain untuk muncul juara perseorangan lelaki di Wimbledon apabila menewaskan seteru utama, Novak Djokovic di final edisi 2013.
Dia meraih gelaran kedua pada 2016 yang menyaksikan dia mengumpul tiga gelaran Grand Slam selepas memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2012.
Dia memenangi emas Olimpik di London 2012, sebelum mengekalkan gelaran di Rio 2016, sekali gus menjadi pemain pertama memenangi dua gelaran individu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




