MUSA beri bayangan ‘payung’ Melaka United musim depan

MUSA beri bayangan ‘payung’ Melaka United musim depan

KELAB Melaka United yang bergelut dengan isu kewangan bakal dinaungi pemilik baharu mulai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bayangan itu diberikan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang bersedia mengambil alih dan menyusun semula kelab tersebut bermula musim 2023 bersama beberapa syarikat swasta.

Presiden MUSA, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, pengambilalihan itu bagi memastikan skuad Hang Tuah tidak terkubur ekoran isu tunggakan gaji dengan pengurusan ketika ini sehingga pasukan berkenaan tersingkir lebih awal di pentas Piala Malaysia.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.

“Tun Mohd Ali memandang serius perkara ini dan akan mengadakan pertemuan bersama Kenteam Sdn Bhd untuk mencari penyelesaian terbaik.

Bagi musim 2023, saya akan melantik peguam untuk menyediakan perjanjian dengan memastikan MUSA menjadi pemilik 40 peratus saham dan baki 60 peratus lagi akan dipecahkan kepada empat syarikat swasta baharu.

“Kita akan berbincang secara terperinci bersama Exco dan semua yang terlibat sama ada akan menukar nama baharu untuk pasukan Melaka tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Luar Biasa MUSA di Banda Hilir pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan barisan Exco.

Pada kongres terbabit, Nur Azmi turut mengumumkan Datuk Karim Yaacob sebagai Setiausaha Agung MUSA yang baharu selepas peletakan jawatan Ir Ahmad Roslee Hamzah.

Mengulas isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC, Nur Azmi berkata, pihaknya meminta Kenteam Sdn Bhd untuk menyelesaikan segala tunggakan tersebut memandangkan MUSA tidak terbabit berkaitan aspek pembayaran.

Tegas beliau, perkara itu termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020.

“Dalam perjanjian oleh KenTeam Sdn Bhd sewaktu mengambil alih MUFC, nama MUSA tidak tertera sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus, manakala 70 peratus milik syarikat terbabit.

“Apabila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani itu banyak perkara-perkara berkaitan pasukan tidak membabitkan MUSA. Ia sesuatu yang pelik kerana perjanjian itu sangat longgar.

“Justeru untuk akan datang, kita akan cuba untuk menjadi lebih telus supaya tiada lagi isu berulang timbul membabitkan pasukan Melaka,” katanya.