Paris: Kejutan terus mewarnai saingan Masters Paris apabila dua pemain pilihan, Lorenzo Musetti dan Casper Ruud, tersingkir awal pada pusingan kedua kejohanan itu, awal pagi tadi.
Pemain Itali, Lorenzo Sonego, bangkit cemerlang untuk menewaskan rakan senegara yang juga pilihan ketujuh, Musetti, 3-6, 6-3, 6-1, manakala pemain Jerman, Daniel Altmaier, turut mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan kelapan, Ruud dari Norway, 6-3, 7-5.
Sonego tampil lebih konsisten apabila memenangi empat daripada lima peluang break point dan menyelamatkan tiga daripada empat cubaan lawannya, manakala Altmaier melakar 10 ace serta menafikan empat daripada lima break point yang dihadapi.
Kekalahan Musetti dan Ruud menyusul selepas pilihan utama, Carlos Alcaraz, turut tersingkir sehari lebih awal selepas dikejutkan Cameron Norrie dari Britain, sekali gus membuka laluan buat Jannik Sinner untuk merampas semula ranking nombor satu dunia sekiranya menjuarai kejohanan Masters 1000 itu minggu ini.
Sinner memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain Belgium, Zizou Bergs, 6-4, 6-2, selepas menerima bye pada pusingan pertama.
“Saya gembira dengan cara saya beraksi hari ini. Servis saya lebih tepat dan saya dapat rentak lebih awal, sesuatu yang penting di gelanggang unik seperti ini,” kata Sinner yang baru muncul juara Terbuka Erste Bank di Vienna hujung minggu lalu.
Dalam satu lagi aksi menarik, pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev, terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Argentina, Camilo Ugo Carabelli, 6-7(5), 6-1, 7-5.
Zverev bangkit selepas ketinggalan 40-15 pada kedudukan 5-5 untuk mematahkan servis lawan dan memastikan kemenangan.
Sementara itu, pilihan keenam Alex de Minaur (Australia) dan pilihan kesembilan Felix Auger Aliassime (Kanada) turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas masing-masing menundukkan Gabriel Diallo serta Alexandre Muller dalam aksi tiga set.
Turut mara ialah pilihan ke-10 Karen Khachanov (Rusia), pilihan ke-13 Alexander Bublik (Kazakhstan), pilihan ke-15 Alejandro Davidovich Fokina (Sepanyol), serta Francisco Cerundolo (Argentina) dan Valentin Vacherot (Monaco).
Pilihan ke-11, Daniil Medvedev, pula mara secara percuma selepas Grigor Dimitrov menarik diri akibat kecederaan bahu, kemunculan pertama pemain Bulgaria itu sejak mengalami kecederaan dada di Wimbledon.
© New Straits Times Press (M) Bhd




