
Insiden yang menimpa Musiala semasa aksi suku akhir Piala Dunia Kelab antara PSG menentang Bayern di Stadium Mercedes-Benz pada 5 Julai lalu. Foto AFP
TONGGAK tengah Bayern Munich, Jamal Musiala menegaskan tiada pihak yang perlu dipersalahkan atas insiden ngeri yang menyaksikan beliau patah kaki ketika aksi suku akhir Piala Kelab Dunia menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal minggu ini.
Pemain berusia 22 tahun itu mengalami keretakan pada tulang fibula serta buku lali yang patah dan terkehel selepas bertembung dengan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma pada penghujung babak pertama perlawanan tersebut.
Pemain Jerman itu terus dikeluarkan menggunakan pengusung kemudiannya diterbangkan dari Atlanta ke Munich untuk menjalani pembedahan.
Beliau dijangka berehat selama beberapa bulan dan bakal terlepas aksi permulaan musim baharu.
“Pembedahan berjalan lancar. Saya berada dalam jagaan terbaik dan ingin nyatakan bahawa tiada siapa perlu dipersalahkan dalam hal ini.
“Saya anggap insiden seperti ini memang boleh berlaku dalam bola sepak. Sekarang, fokus saya adalah untuk membina kembali kekuatan diri dan kekal positif,” kata Musiala menerusi hantaran di Instagram.
Musiala menamatkan musim lalu dengan rekod cemerlang apabila menjaringkan 21 gol serta mencipta lapan bantuan jaringan dalam semua kejohanan, sekali gus membantu Bayern meraih gelaran Bundesliga.