Musibah tsunami 2024 cetus idea tubuh saluran radio

Musibah tsunami 2024 cetus idea tubuh saluran radio

mohamadridzuan@hmetro.com.my

BERDEPAN bencana Tsunami di Aceh pada 2004 mencetus kesedaran buat Pengerusi Peduli Radio, Ishak Abdul Kadir untuk mewujudkan saluran radio berorientasikan kebajikan.

Ishak berkata, peristiwa menyayat hati ini menyedarkannya kepentingan komunikasi sewaktu berlakunya bencana bagi kemudahan pelbagai urusan.

“Masa itu saya bertugas di Aceh. Jadi saya banyak belajar berkenaan perkara kebajikan dengan rakan-rakan di Indonesia. Ia satu pengalaman berharga. Di sekitar sini (Malaysia) jarang gunakan perkataan peduli.

“Kita tak peduli banyak perkara. Tapi orang sana banyak yang peduli. Jadi itu yang saya pilih peduli. Maknanya jangan selama ini kita negatif sering tidak ambil peduli. Kita kena peduli kalau macam ini.

“Hasrat saya nak adakan radio kebajikan pun dah lama,” katanya ditemui pada pelancaran yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini.

Menurutnya, Peduli Radio wujud dengan memfokuskan kepada penyampaian maklumat berkaitan misi bantuan bencana, aktiviti kebajikan serta pembangunan komuniti.

“Bukan sekadar medium informasi namun jambatan kasih sayang antara rakyat menzahirkan keprihatinan terhadap isu-isu kebajikan serta membuka ruang kepada golongan berkemampuan memberi bantuan.

“Peduli Radio mencerminkan semangat Malaysia Madani di mana nilai kepedulian, ihsan dan tanggungjawab sosial dijadikan teras utama.

“Platform ini diyakini mampu menyebarkan mesej kebaikan, memperkukuh jaringan sukarelawan dan membina masyarakat yang lebih penyayang,” katanya.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia itu berkata, dia ada tinjau mangsa kejadian kebakaran di Putra Heights pada cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Masa itu ramai staf masih cuti. Ramai mangsa musibah tanya saya mana nak dapat ini dan dapat itu pasal masa itu l bantuan lambat. Orang masih cuti raya lagi. Orang yang nak bagi bantuan pun telefon juga.

“Jadi saya fikir inilah masanya dimana kita perlukan komunikasi, seratus peratus kebajikan. Bukan maknanya radio lain tiada inisiatif kebajikan. Tapi kami insya-Allah 100 peratus kebajikan,” katanya.

Tambah Isyak, Peduli Radio hanya akan memberi fokus kepada komuniti dan kebajikan agar masyarakat cakna serta tahu segala jenis sumbangan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Antara segmen yang menarik di Peduli Radio adalah segmen berorientasikan kebajikan seperti Segmen Inspirasi yang memfokuskan perkongsian kisah teladan dan motivasi daripada masyarakat.

“Selain itu, Peduli Radio menyediakan segmen Kempen Peduli yang mengetengahkan inisiatif bantuan, kutipan derma dan program sukarelawan.

“Apabila kita bersatu hati dan saling peduli, tiada siapa yang akan terpinggir. Peduli Radio adalah bukti teknologi dan media boleh digabungkan dengan nilai kemanusiaan untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya.

Peduli Radio bersiaran melalui digital dan media sosial bagi memperluaskan capaian serta menarik lebih ramai pendengar bersama dalam usaha murni yang dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top