Musim terakhir Diaz, Nunez di Anfield?

Musim terakhir Diaz, Nunez di Anfield?

London: Arne Slot dilapor sudah membuat keputusan untuk menjual dua nama besar susulan prestasi mengecewakan mereka pada final Piala Liga, minggu lalu.

Liverpool gagal mempertahankan kejuaraan akibat aksi hambar yang menyaksikan Newcastle United merangkul trofi pertama mereka dalam masa 70 tahun.

Beberapa pemain menunjukkan prestasi di bawah tahap sebenar semasa perlawanan, menyebabkan ketidakpuasan hati yang ketara dalam kalangan penyokong Liverpool.

Kini, Slot dikhabarkan sudah hilang sabar dengan dua pemainnya itu dan memberi lampu hijau untuk menjual mereka dalam apa yang dikatakan perubahan besar pada musim panas di Anfield.

Walaupun terdapat beberapa aspek Liverpool mungkin perlu perkuatkan apabila jendela perpindahan dibuka semula pada Jun, mungkin tiada yang lebih jelas selain serangan.

Malah jika pengarah sukan Richard Hughes berjaya meyakinkan Mohamed Salah untuk menandatangani kontrak baru menjelang kontraknya yang tamat pada musim panas, laporan mendakwa kedua-dua Luis Diaz dan Darwin Nunez dijangka meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.

Menurut Daily Mail, kelab-kelab Liga Pro Saudi masih berminat dengan Nunez selepas gagal menandatangani penyerang Uruguay itu dengan harga sekitar £62.4 juta (RM356 juta) pada Januari dan sebagai sebahagian daripada pelan mereka kerana seluruh liga merancang pelaburan besar pada 2025.

Sekiranya Liverpool atau Nunez menolak perpindahan ke Arab Saudi, kelab La Liga Atletico Madrid juga dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran untuk penyerang tersebut pada musim panas.

Bagi Diaz, Barcelona dilaporkan menjadi pasukan paling berkemungkinan membuat tawaran pada musim panas kerana mereka memantau pemain sayap itu untuk beberapa waktu.

Laporan mendakwa gergasi Sepanyol itu pasti akan memperkuatkan jentera serangan mereka pada musim panas ini, dan melihat Diaz sebagai pilihan sempurna.

Namun, sebelum mereka membuat tawaran untuk pemain Colombia itu, Barcelona dipercayai akan sekali lagi cuba menandatangani sasaran jangka panjang mereka, Nico Williams, yang dilaporkan berhasrat untuk berpindah jika Barca mengaktifkan klausa pelepasan £48.7 juta (RM278 juta).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top