Musk kesal atas sebahagian kenyataannya mengenai Trump

Musk kesal atas sebahagian kenyataannya mengenai Trump

Washington: Bilionair Amerika Syarikat (AS) Elon Musk berkata pada Rabu bahawa beliau menyesal terhadap sebahagian daripada kenyataannya pada minggu lepas mengenai Presiden AS Donald Trump, lapor Xinhua.

“Saya menyesal beberapa catatan mengenai Presiden Donald Trump minggu lepas,” tulis Musk dalam satu catatan di platform media sosial X. “Ia melampau.”

Musk, bekas penasihat dan sekutu Trump semasa kempen Pilihan Raya Presiden, terbabit dalam pertukaran kata-kata pedas dengan Presiden AS itu di media sosial minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu mengkritik rang undang-undang percukaian dan perbelanjaan mahal Trump dengan menggambarkannya sebagai “kekejian yang menjijikkan”, manakala Trump menyatakan Musk “GILA” dan mengancam untuk membatalkan kontrak serta subsidi untuk syarikat Musk.

Bapa Musk berkata pada Isnin bahawa anaknya telah “melakukan kesilapan” dengan berdebat secara terbuka dengan Trump dan pertikaian itu dicetuskan oleh “tekanan” daripada kedua-dua pihak, menurut media Rusia.

“Mereka berada di bawah tekanan hebat selama lima bulan – berilah mereka sedikit kelonggaran,” kata Errol Musk kepada akhbar Izvestia semasa lawatannya ke ibu negara Rusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top