Muslim Pro nafi jual maklumat pengguna

Kota Bharu – Selepas tular di media sosial mengenai aplikasi solat Muslim Pro yang dikatakan menjual maklumat lokasi penggunanya kepada Amerika Syarikat, pembangun aplikasi itu muncul dengan kenyataan sebaliknya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Muslim Pro di laman sosialnya beberapa jam lalu, pihak Muslim Pro menafikan perkara tersebut
dan menyatakan komitmen mereka untuk menjaga privasi pengguna mereka.
Kenyataan itu juga menyebut pihak Muslim Pro sentiasa menerapkan pengaturan keselamatan standard industri dan langkah perlindungan dalam memilih rakan teknologi terkemuka untuk memastikan data mereka selamat dan terjamin di simpanan atas talian.
Menurut kenyataan itu, Muslim Pro bersikap terbuka dan telus mengenai maklumat peribadi yang dikumpulkan, disimpan dan proses kerana ia adalah kepercayaan jutaan pengguna.
“Setiap ciri tersedia tanpa mendaftar atau log masuk yang menyumbang kepada data tanpa nama yang kami kumpulkan. Dalam usaha kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik, kami berkongsi data dengan rakan tecnologi terpilih yang perlu mematuhi undang- undang global dan peraturan mengenai perlindungan privasi data.
“Menyedari keadaan yang berlaku ini kami telah melancarkan penyiasatan dalaman dan meninjau dasar tadbir urus data kami untuk mengesahkan bahawa semua data pengguna ditangani selaras dengan semua keperluan yang ada,” jelas kenyataan berkenaan.

 

ZA137/ Malay News

National Desk