SEPANG: Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican hari ini menyerahkan 60 kotak makanan kepada kakitangan AeroDarat yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada bakul makanan yang beliau perolehi iaitu 500 kotak yang diserahkan oleh Kedutaan Arab Saudi kepada NGO Antarabangsa .
Mustapha berkata, bakul makanan itu mengandungi barang- barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak, tepung dan lain-lain keperluan asas bagi membantu meringankan beban pekerja terlibat.
Beliau juga berharap syarikat swasta perlu mencari suatu kaedah yang terbaik bagi mengekalkan kakitangan sedia ada pada waktu ekonomi yang sukar ketika ini seperti mana yang dilakukan AeroDarat.
“Walaupun syarikat hadapi masalah carilah kaedah terbaik bagi mengurang beban kewangan dengan berbelanja secara berhemat dan mengoptimumkan pendapatan. Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta demi memastikan ekonomi negara pulih dengan cepat,” katanya.
Mustapha berkata demikian ketika menyerahkan bakul makanan sumbangan kedutaan Arab Saudi kepada Ketua Pegawai Eksekutif AeroDarat, Mohd. Nadziruddin Mohd. Basri di KLIA hari ini.
Mohd. Nadziruddin merakamkan setinggi perhargaan atas usaha NGO Antarabangsa membantu meringankan beban golongan kakitangan AeroDarat dan ada di antara mereka akan bertugas ketika hari raya aidilfitri nanti.
“Keutamaan kami adalah sentiasa menjaga kebajikan mereka walaupun waktu ini kita menghadapi pandemik Covid-19 tetapi AeroDarat masih dapat mengekalkan kakitangan yang ada. Penekanan SOP sentiasa diutamakan dalam semua bidang kakitangan,” katanya.




