am@hmetro.com.my
Ipoh: Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di puncak Gunung Liang di Muallim, Tanjong Malim, semalam ditemukan berseorangan dalam posisi seakan tidur mengiring serta keadaan hidungnya mengeluarkan sedikit darah.
Keadaan itu dikongsikan pegawai daripada Zon 4 Tapah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Marazman Mohamad, 38, yang menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di puncak gunung itu, semalam dan antara individu terawal yang menjumpai mangsa.
Marazman berkata, barangan peribadi dalam beg pek yang ditemukan bersebelahan mangsa termasuk dompet dan beg tidur tidak terusik, dengan terdapat bekalan makanan masih berbaki namun bekalan air kehabisan.
“Kalau tengok kepada keadaan jenazah, ia seperti kesejukan dan ada sedikit pendarahan pada hidungnya yang mungkin disebabkan udara sejuk yang biasanya disebut ‘hypothmia’.
“Saya dapati mangsa tidak gunakan pun kelengkapan yang ada dalam begnya seperti beg tidur namun botol air kosong semuanya. Mangsa seakan hilang pertimbangan untuk berfikir kerana biasanya peserta perkhemahan akan gunakan beg tidur untuk tidur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Marazman yang juga seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) berdaftar di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berkata, beliau dimaklumkan mangsa yang mengadu sakit kaki pada mulanya ditemani seorang malim gunung yang membimbing kumpulan 11 pendaki berkenaan.
Katanya, pendaki selebihnya dalam kumpulan itu dibawa turun lebih awal oleh seorang lagi malim gunung yang turut serta dalam pendakian yang bermula dari kawasan Bentong, Pahang.
“Setahu saya memang banyak kumpulan pendaki yang mula mengenali antara satu sama lain menerusi sesuatu sesi pendakian itu.
“Saya diberitahu bahawa malim gunung yang pada asalnya menemani mangsa kemudiannya turun ke kaki gunung untuk mendapatkan bantuan justeru mangsa ditinggalkan berseorangan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa malim gunung yang terbabit dalam kumpulan pendakian itu pada mulanya mahu melakukan usaha mencari dan menyelamat mangsa sendiri bersama penganjur ekspedisi kumpulan itu dari Johor tanpa mahu membabitkan pihak berkuasa,” katanya.
Bercerita lanjut, Marazman berkata, pendakiannya dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dijalankan pihak berkuasa bermula dari Empangan Sungai Dara di Behrang, Muallim memakan masa kira-kira lapan jam melalui trek sejauh kira-kira 12 kilometer dengan laluan disifatkan sangat mencabar.
“Kesukaran yang dihadapi adalah keadaan licin khususnya sewaktu hujan susulan trek pendakian yang berbatu serta banyak gaung kiri dan kanan. Memang kalau ikutkan kesukaran mendakinya, tidak sesuai untuk pendaki biasa gunung berketinggian 1,933 meter dari aras laut itu.
“Barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbitnya ada dijumpai bersama mangsa, cuma di puncak gunung sebegitu tidak semua liputan rangkaian telekomunikasi dapat dicapai,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari mengesahkan penahanan dua MGP susulan insiden di puncak gunung itu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit membabitkan sempadan negeri Perak, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




