sukan@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Bekas pelumba basikal negara, Abdul Mutalib Mydin meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya kini lebih terurus selepas ditempatkan di sebuah pusat penjagaan, sekali gus memberi sinar baharu buat dirinya.
Menurutnya, segala keperluan harian dipenuhi dengan baik, malah layanan yang diterima jauh lebih selesa berbanding ketika tinggal bersendirian sebelum ini.
Tambahnya, rutin harian termasuk urutan setiap pagi turut membantu memperbaiki keadaan fizikalnya, khususnya pergerakan kaki yang semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Di sini saya dibantu dari A sampai Z. Kalau perlukan apa-apa, hanya bunyikan loceng dan mereka akan datang. Makan dan mandi semuanya terjaga. Saya sangat bersyukur. Pagi-pagi dia akan urut, jadi kaki ini ada sedikit pergerakan.
“Rawatan dibuat ikut jadual, jadi ada peningkatan. Kalau ada masalah, tindakan pun cepat. Memang jauh lebih selesa berbanding di rumah,” katanya.
Selain itu, Abdul Mutalib turut menyimpan harapan untuk kembali sihat dan berjalan seperti biasa suatu hari nanti dan kembali membantu mereka yang memerlukan.
“Kalau ikut saya, sekarang ramai yang datang membantu. Kalau saya sudah sihat dan boleh berjalan, saya nak pergi melawat mereka pula. Sebab dalam sukan, kita ini satu keluarga, tak kira Melayu, India atau Cina, semuanya sama,” katanya.
Sementara itu, bekas atlet paralimpik negara, Ridzuan Fauzi mengakui tersentuh melihat keadaan Abdul Mutalib, selain menghargai usaha pihak yang tampil membantu bekas atlet.
“Saya sedih melihat keadaan beliau, namun berterima kasih kepada pihak yang membawa kami untuk menziarah dan memberi sokongan,” katanya.
Selain itu, bekas pemain hoki negara, Selvaraju Sandrakasi mengakui situasi itu membuka mata mengenai nasib atlet selepas bersara.
“Apa yang beliau katakan itu betul. Kita berjuang habis-habisan ketika aktif, tetapi apabila tidak lagi mewakili negara, keadaan boleh berubah. Ia membuatkan saya lebih sedar tentang realiti kehidupan selepas sukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




