Kumpulan pop sensasi tanah air, Dolla kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu mereka bertajuk ‘Mwa’ sebuah lagu yang penuh bertenaga yang menampilkan ekspresi kreatif yang segar dan berani.
Pelancaran ini turut diserikan dengan video muzik dinamik yang menampilkan jenama kenderaan Omoda Jaeco sebagai penaja rasmi, menjadikan momen ini sebagai titik permulaan era baharu buat kumpulan yang dianggotai oleh tiga anak gadis ini.
Sementara itu, lagu Mwa merupakan hasil gubahan Chelsea Warner, Gaston Roland, Lim Shi Jie, Tabby, Sabronzo, dan Angel, serta diterbit dan disusun oleh Gaston dan Roland Lim.
Menurut Angel, selain berasa teruja, kerjasama ini juga dianggap sebagai satu proses kreatif yang menyeronokkan.
“Kami sangat teruja dapat bekerjasama semula dengan pasukan produksi ini. Sesi di studio bersama Gaston sangat lancar dan dipenuhi eksperimen muzik. Ia satu proses kreatif yang amat menyeronokkan,” katanya.
Dalam pada itu, Angel juga memuji Chelsea Warner yang memberikan sumbangan besar kepada pembentukan melodi utama lagu ini.
“Apa yang lebih istimewa, semua ahli Dolla turut terlibat secara mendalam dalam pembikinan lagu ini sekaligus menjadikan ia lebih bermakna buat kami,” tambahnya.
Video muzik MWA! diarahkan oleh pengarah tempatan terkenal, Jasmine Wong, dan menampilkan setiap anggota Dolla sebagai watak ‘pakar ilusi’ dalam misi yang mendebarkan.
Manakala, elemen aksi, fesyen berani, dan naratif kreatif menjadi teras utama kepada visual yang dibawa.
“Sabronzo memainkan peranan sebagai pemain kad, Tabby sebagai dalang utama, dan saya sebagai pejuang.
“Konsep kali ini lebih liar dan tidak dijangka dan ia sangat berbeza daripada karya kami sebelum ini,” jelasnya.
Tambah Sabronzo, lagu ini pada asalnya tiada demo penuh dann sekadar idea asas.
“Lagu ini bermula hanya dengan satu idea asas dan tiada demo penuh.
“Kami kembangkan idea itu secara berperingkat, dan hasil akhirnya benar-benar menggambarkan visi kami,” ujarnya.
Dengan produksi yang mantap, visual berani dan semangat yang diperbaharui, MWA! menandakan permulaan era baharu buat Dolla.
Lagu ini boleh didapati di semua platform digital mulai 5 Mei 2025, manakala video muziknya boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi DOLLA.
Terdahulu, sebagai kemuncak pelancaran, The Mwa Heist mengambil alih kawasan Bukit Bintang pada 10 Mei dengan aktivasi istimewa di Bukit Yayasan Selangor.
Acara ini menampilkan pengalaman imersif yang menghidupkan video muzik tersebut melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan tarian rawak, pameran visual, dan persembahan pertama MWA! secara langsung oleh Dolla.
Ia merupakan satu bentuk pengambilalihan eksperimental yang menggabungkan muzik, seni dan interaksi secara langsung dengan peminat di jalanan.