Kaherah: Mesir bakal merasmikan Muzium Agung Mesir (GEM) esok, dengan penuh gilang-gemilang, yang dianggap sebagai kemuncak usaha pihak berkuasa memulihkan industri pelancongan negara itu.
Muzium moden bernilai lebih AS$1 bilion (kira-kira RM4.75 bilion) itu terletak berhadapan panorama Dataran Piramid Giza dan menempatkan ribuan artifak yang meliputi lebih 5,000 tahun sejarah Mesir purba.
Selepas lebih dua dekad pembinaan, muzium berteknologi tinggi itu dijangka menerima lima juta pelawat setiap tahun dengan pameran artifak yang belum pernah dipertontonkan sebelum ini.
Media tempatan menyifatkan perasmian itu sebagai ‘hadiah Mesir kepada dunia’ dan ‘bab baharu dalam sejarah tamadun Mesir’.
Namun, persiapan menjelang majlis perasmian itu dijalankan dalam suasana penuh rahsia dan tanpa pendedahan mengenai tetamu kehormat yang akan hadir.
Pihak berkuasa hanya menyatakan bahawa ‘raja, putera, ketua negara dan pemimpin kerajaan’ dijangka menghadiri majlis itu.
Penganjur juga berahsia mengenai cara baharu pameran topeng emas ikonik Firaun muda, Tutankhamun akan dipersembahkan kepada umum.
Mulai Selasa ini, muzium itu akan dibuka kepada orang ramai dengan mempamerkan 4,500 daripada 5,000 artifak pengebumian yang sebelum ini disimpan di pelbagai lokasi, termasuk Muzium Mesir lama di tengah Kaherah.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, mengadakan mesyuarat tertinggi bagi memastikan persiapan perasmian berjalan lancar dan mencerminkan kedudukan Mesir sebagai peneraju dalam bidang muzium serta budaya dunia.
Dalam pada itu, kenyataan rasmi turut menegaskan, dimensi simbolik muzium itu yang dijangka menjadi hab budaya dan saintifik antarabangsa bagi mempromosikan pelancongan Mesir.
Sementara itu, Perdana Menteri, Mostafa Madbouly menyifatkan, acara itu sebagai lambang peranan Mesir sebagai ‘buaian tamadun dan peneraju global dalam inovasi muzium’.
Perasmian yang sepatutnya diadakan pada 3 Julai lalu ditangguhkan selepas Israel menyerang Iran pada 13 Jun, mencetuskan perang selama 12 hari yang menutup ruang udara di Timur Tengah.
Projek itu juga berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan politik dan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kemajuannya.
Dalam usaha mempromosikan muzium itu secara global, konglomerat Mesir, United Media Services, bekerjasama dengan TikTok untuk berkongsi kisah tamadun Mesir kepada penonton di seluruh dunia.
Industri pelancongan Mesir kini menunjukkan pemulihan dengan hasil pelancongan mencecah AS$14.4 bilion (kira-kira RM68.4 bilion) pada tahun fiskal 2023-2024, meningkat 34.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




