sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka Muzium Coklat Nokona yang menjadi tarikan di Jitra, Kedah adalah cetusan idea dan kreativiti oleh pasangan kembar yang pernah berada di kelas belakang ketika di bangku sekolah.
Malah, Muhammad Amin dan Muhammad Abid Othman, 24, juga menjadi antara pempengaruh media sosial yang berjaya menghasilkan beberapa rekaan inovatif sehingga dinobat Education Creator Of The Year pada Anugerah TikTok Malaysia, baru-baru ini.
Muhammad Amin berkata, berada di kelas belakang bukan titik akhir untuk mereka mengecap kejayaan seperti kebanyakan orang lain.
“Apabila dapat anugerah kategori education sedikit sebanyak kami boleh buktikan pelajar di kelas belakang macam kami pun boleh berjaya.
“Berada di kelas bawah juga bukan titik kegagalan kerana jika kita rajin berusaha, insya-Allah ada kejayaan. Terima kasih kepada TikTok dan semua yang menyokong kami sampai ke tahap sekarang,” katanya.
Berkongsi penghasilan muzium coklat itu, Amin dan Abid yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah berkata, mereka mengambil masa tujuh bulan untuk menyiapkan projek terbabit.
Menurutnya, pemilik Nokona menawarkan projek ini pada Disember tahun lalu dan pembinaannya dimulakan tahun ini selepas perbincangan dan pembentangan idea dan rekaan.
“Boleh dikatakan idea ini disukai pemilik muzium sebab kena dengan coklat dan fantasi sebab ia bertemakan fantasi coklat muzium. Segala prop dihasilkan sendiri sepenuhnya.
“Selama tujuh bulan kami berhempas-pulas. Kalau ikutkan sekejap saja, tapi disebabkan kami ada program lain, jadi terpaksa ambil rehat juga. Pada masa sama, kami dibantu ayah dari segi tebuk dinding dan lain-lain.
“Alhamdulillah, selepas muzium siap, orang gembira dan ambil gambar, apatah lagi pencinta coklat dan kanak-kanak suka tengok mekanisme bergerak. Bila orang tengok dengan reaksi yang mengagumkan, rasa gembira sangat,” katanya.
Menurutnya yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik, maklum balas positif diterima daripada pengunjung membuatkan mereka berasa lebih dihargai.
“Kalau bercakap soal bayaran, untuk kami sebagai pemain baharu dalam bidang ini berasakan ia berbaloi. Alhamdulillah, bayaran setimpal dengan apa kami buat. Ia mencecah lima angka juga.
“Dari sudut lain pula, kepuasan lebih lagi sebab orang menghargai kerja yang kami buat. Masa hari pertama pembukaan, kami pun ada sama sebab nak tengok reaksi orang ramai,” katanya.
Menurutnya, dia dan kembarnya giat mengusahakan perniagaan tote bag yang menampilkan pelbagai jenis rekaan di bawah syarikat sendiri iaitu Outside Box Design.
“Sebelum ini kami buat bisnes baju. Cuma tote bag ini baharu mula minggu lalu. Kami jangka banyak tak habis, tapi dalam masa sehari ia habis terjual. Tak menang tangan, sebab kami buat berdua dan dibantu abang dan kakak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




