Muzium Perak yakin capai 50 ribu pengunjung selepas PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Taiping: Muzium Perak menyasarkan 50,000 orang pengunjung sepanjang tahun ini walaupun berdepan penularan wabak Covid-19.

Pengarahnya, Zarinah Sarifan berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga awal bulan ini seramai 43,100 pengunjung telah hadir dan beliau optimis sasaran 50,000 mampu dicapai memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah tamat 6 Disember lalu.

Beliau berkata, ia adalah separuh daripada sasaran 100,000 pelawat sepanjang tahun ini.

“Disebabkan PKPB sudah tamat dan cuti akhir tahun persekolahan bermula 18 Disember ini kita yakin orang ramai akan menanfaatkan waktu ini untuk melawat tempat menarik termasuk pameran Orang Asli ‘Identiti dan Tradisi’ yang sedang berlangsung sejak 20 Okt lalu hingga 30 Jun tahun depan.

“Orang ramai dan generasi muda perlu berkunjung ke muzium ini untuk melihat sendiri pameran Orang Asli yang sukar untuk diperolehi di tempat lain,” katanya kepada pemberita di Muzium Perak di sini.

Zarinah berkata, pameran itu bertujuan menyebarkan pengetahuan dan membina kefahaman tentang keunikan kebudayaan Orang Asli yang kaya dengan pelbagai adat dan nilai hidup yang mengisi sebahagian daripada khazanah warisan sejarah dan budaya Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan data tahun lalu, Orang Asli di Malaysia mewakili 0.7 peratus daripada penduduk negara dan mereka membabitkan tiga kelompok iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk