Taipei : Medigen Vaccine Biologics Corp (MVC) dan Substipharm Biologics mengumumkan pada 17 Mac bahawa ENVACGEN, vaksin Enterovirus 71 (EV-A71), menerima kelulusan pemasaran daripada Pentadbiran Dadah Vietnam (DAV).
Substipharm Biologics akan menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran di Vietnam.
Mengekalkan bahagian pasaran melebihi 97 peratus di Taiwan, ENVACGEN kini mencapai satu pencapaian bersejarah sebagai vaksin EV-A71 pertama yang diluluskan di Vietnam.
Pencapaian ini mewujudkan asas kukuh bagi kedua-dua pihak untuk memperluas jejak komersial mereka di seluruh Asia Tenggara.
Enterovirus 71 (EV-A71) adalah punca utama komplikasi neurologi serius dan kematian dalam kalangan kanak-kanak kecil di seluruh Asia.
Vietnam terjejas teruk oleh wabak berulang, dengan kira-kira 180,000 kes dan 31 kematian dilaporkan pada tahun 2023 saja. Krisis berulang ini menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan pediatrik dan memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan tempatan.
Sebagai vaksin “terbaik dalam kelasnya”, ENVACGEN menawarkan prestasi klinikal luar biasa termasuk 100 peratus keberkesanan, perlindungan awal untuk bayi seawal usia dua bulan serta imunogenisiti jangka panjang melebihi lima tahun.
Dengan kadar kelahiran tahunan Vietnam sebanyak 1.36 juta, sinergi antara keupayaan pembuatan berkualiti tinggi MVC dan kepakaran pemasaran Substipharm Biologics akan menangani keperluan perubatan di rantau ini dengan pantas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MVC, Leo Lee, kelulusan pemasaran ENVACGEN sebagai vaksin EV71 pertama di Vietnam merupakan satu pencapaian penting dalam pengembangan global MVC.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpengalaman kami, Substipharm Biologics bagi menyediakan vaksin berkualiti tinggi ini kepada kanak-kanak tempatan.
“Memandangkan permintaan yang besar di Asia Tenggara, MVC memulakan pelan pengembangan kapasiti bagi memastikan bekalan vaksin premium yang stabil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Substipharm Biologics, Fabrice Baschiera berkata, dengan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) berskala besar yang berulang sejak sedekad lalu, EV71 lama menjadi cabaran serius kepada kesihatan kanak-kanak di Vietnam.
Katanya, pada tahun 2025, sebanyak 107,249 kes HFMD dilaporkan, meningkat 28.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Substipharm Biologics komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan Vietnam dan profesional penjagaan kesihatan bagi membawa vaksin ini ke Vietnam secepat mungkin untuk melindungi kanak-kanak daripada HFMD yang disebabkan oleh virus EV71,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



