Myanmar laksana bekerja dari rumah setiap Rabu, jimat bahan api

Myanmar laksana bekerja dari rumah setiap Rabu, jimat bahan api

Yangon: Myanmar memperkenalkan pelaksanaan bekerja dari rumah pada setiap Rabu bagi jabatan kerajaan bermula 25 Mac 2026 sehingga diberitahu kelak bagi membantu mengurangkan penggunaan bahan api, menurut kenyataan yang disiarkan dalam akhbar milik kerajaan The Mirror pada Isnin, lapor Xinhua.

Pasukan Penerangan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara memaklumkan dalam akhbar itu bahawa objektif utama langkah berkenaan bertujuan untuk menjimatkan bahan api. Oleh itu, pegawai dan kakitangan perlu mengelakkan sebarang perjalanan atau penggunaan kenderaan yang tidak penting pada hari bekerja dari rumah yang ditetapkan.

Ia turut menggalakkan organisasi swasta dan entiti perniagaan melaksanakan pengaturan serupa mengikut kesesuaian.

Sebagai tindak balas terhadap kemungkinan kekurangan bahan api susulan konflik berterusan di Asia Barat, kerajaan sebelum ini melaksanakan sistem giliran kenderaan ganjil-genap serta catuan bahan api.

Selain itu, kerajaan sedang berusaha mendapatkan import bahan api melalui pelbagai saluran bagi memastikan bekalan yang berterusan, menurut pasukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top