Myanmar perlu laksana Konsensus Lima Perkara (5PC) – Menteri-menteri Luar ASEAN

Myanmar perlu laksana Konsensus Lima Perkara (5PC) – Menteri-menteri Luar ASEAN

Kuala Lumpur: Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Myanmar perlu melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu sebelum mengadakan sebarang pilihan raya, dan berikrar memperkukuh kerjasama menangani jenayah rentas sempadan yang berpunca daripada konflik berkenaan.

Dalam kenyataan Semakan dan Keputusan Pemimpin ASEAN mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, menteri-menteri menyeru semua pihak melaksanakan sepenuhnya 5PC bagi mencapai proses perdamaian yang inklusif, berkekalan serta diterajui dan dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri.

5PC yang diterima pakai oleh ASEAN pada April 2021 menyeru kepada penamatan keganasan, dialog inklusif, pelantikan utusan khas, pemberian bantuan kemanusiaan serta kebenaran kepada utusan khas untuk berhubung dengan semua pihak berkaitan.

“(Kami) menggesa semua pihak dan pihak berkepentingan di Myanmar, khususnya angkatan tentera dan pasukan keselamatan terbabit, supaya mengurangkan keganasan serta menghentikan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, di samping mempertingkat usaha membina kepercayaan,” menurut kenyataan itu.

Menteri turut menggesa pelaksanaan penuh gencatan senjata yang diperluas dan dilanjutkan, seperti yang dipersetujui pada Mei tahun ini.

Sambil mengambil maklum rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember tahun ini, menteri-menteri menegaskan kepentingan memastikan pilihan raya umum dijalankan secara bebas, adil, aman, telus, inklusif dan berwibawa.

“Kami menegaskan bahawa penamatan keganasan dan dialog politik inklusif mesti didahulukan sebelum pilihan raya diadakan,” menurut kenyataan itu.

Myanmar sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember 2025 dan menjemput negara anggota ASEAN menghantar pemerhati pilihan raya, seperti yang diambil maklum dalam kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Myanmar akan terus diwakili secara bukan politik dalam Sidang Kemuncak dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan 5PC.

Menteri-menteri turut bersetuju bahawa negara anggota ASEAN harus terus merujuk kepada 5PC dan berkoordinasi dengan Pengerusi ASEAN dalam usaha menangani krisis Myanmar.

Namun, krisis Myanmar dijangka tidak akan menjejaskan proses pembinaan Komuniti ASEAN dan dalam membuat keputusan bersama, sambil mereka berikrar untuk terus bekerjasama dalam mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Myanmar kini terperangkap dalam perang saudara berbilang penjuru yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan memindahkan jutaan penduduk sejak tentera merampas kuasa serta menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, pada Februari 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top