Myanmar tamat perintah darurat selepas empat tahun

Myanmar tamat perintah darurat selepas empat tahun
Aung Hlaing dijangka mengekalkan kuasa beliau sebagai pemimpin de facto negara yang dilanda konflik bersenjata itu. Foto Agensi

Aung Hlaing dijangka mengekalkan kuasa beliau sebagai pemimpin de facto negara yang dilanda konflik bersenjata itu. Foto Agensi

YANGON – Junta Myanmar menamatkan perintah darurat pada Khamis menjelang pilihan raya yang dijadualkan pada Disember depan, meskipun dibantah oleh puak penentang dan dijangka berdepan langkah boikot daripada pihak pembangkang.

“Perintah tersebut yang diisytiharkan pada Februari 2021 dimansuhkan hari ini. Pemilihan secara demokrasi akan diadakan dalam tempoh enam bulan,” kata jurucakap tentera, Zaw Min Tun, menerusi mesej audio tanpa memberikan tarikh yang ditetapkan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat oleh pemerintah junta, Min Aung Hlaing, yang memegang kuasa penuh selepas menggulingkan kerajaan awam yang turut dibarisi ikon prodemokrasi, Aung San Suu Kyi.

“Kita sudah pun melepasi bab pertama dan akan melangkah ke bab kedua,” lapor akhbar The Global New Light of Myanmar yang memetik kenyataan Aung Hlaing.

Penganalisis meramalkan bahawa pilihan raya itu akan mengekalkan kuasa beliau, sekali gus melanjutkan peranannya sebagai pemerintah de facto Myanmar yang terus berdepan konflik bersenjata sejak lebih empat tahun lalu. – AFP

 

 

Scroll to Top