
YANGON: Myanmar menyaksikan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi pada Sabtu dengan rejim tentera menunjukkan kekuatannya semasa negara itu menyambut Hari Angkatan Tentera tahunannya.
Menurut laporan Agensi Anadolu, junta menerusi mesej yang disiarkan di televisyen pada Jumaat malam memberi amaran kepada penunjuk perasaan mengenai risiko ditembak di kepala dan belakang, jika mereka meneruskan demonstrasi antikudeta semasa sambutan itu.
Penunjuk perasaan bagaimanapun tidak menghiraukan ancaman junta dan tetap keluar ke jalan raya di seluruh negara pada Sabtu, dan bertembung dengan anggota tentera.
Laporan media memetik kumpulan sukarelawan dan saksi pembunuhan berkata, lebih 140 orang ditembak mati pasukan keselamatan di seluruh negara itu pada Sabtu.
Saluran berita utama di negara itu, Myanmar Now melaporkan 141 orang awam di 44 pekan dan lapan daripada 15 bandar.
Yangon dan Mandalay, dua bandar terbesar dan hab komersial terpenting di negara itu, mencatatkan jumlah kematian tertinggi pada Sabtu, iaitu masing-masing merekodkan 23 dan 29 kematian, menurut statistik dikumpul Myanmar Now.
Kematian anggota polis sertai protes
Menurut laporan Agensi Anadolu, antara yang terbunuh di Yangon ialah seorang anggota polis berusia 21 tahun, yang mengetepikan tugasnya dan menyertai bantahan awam itu.
Beliau ditembak di kepala oleh pasukan keselamatan di bandar Insein, kata seorang sukarelawan perubatan.
Seorang lagi mangsa korban ialah remaja lelaki Hindu berusia 14 tahun dari bandar Minggalar Taung Nyunt di Yangon, lapor media tempatan Khit Thit Media.
Mangsa termuda tindakan ganas pada Sabtu adalah seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang ditembak ketika bermain di jalan berhampiran rumahnya di bandar Shwe Bo di Mandalay.
Dalam rakaman yang dikongsi di media sosial, bapa mangsa dilihat meraung sambil memangku mayat anaknya: “Anak saya telah mati, inilah anak saya yang telah mati.”
Angka kematian dijangka terus meningkat memandangkan kekerasan yang ditunjukkan junta dijangka berlanjutan.
Kecaman diplomat
Keganasan tentera itu menerima kecaman hebat diplomat asing yang enggan menghadiri upacara Hari Angkatan Tentera di Nay Pyi Taw.
Kesatuan Eropah di Myanmar menyifatkan tindakan kekerasan sempena Hari Angkatan Tentera sebagai “hari keganasan dan penghinaan”.
“Pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak tidak boleh dimaafkan,” kata EU dalam kenyataan pada Sabtu.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Yangon berkata, pihaknya menyiasat tembakan yang dilancarkan kumpulan tidak dikenali di American Center.
Duta AS ke Myanmar, Thomas Vajda berkata, pasukan keselamatan membunuh orang awam tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak.
Beliau meminta junta segera menghentikan keganasan dan mengembalikan pemerintahan awam.
“Rakyat Myanmar telah bersuara dengan jelas: Mereka tidak mahu hidup di bawah pemerintahan tentera,” katanya dalam kenyataan.
Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb lalu, beberapa jam sebelum Parlimen dijadualkan bersidang, dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan anggota kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD), yang mencetuskan tunjuk perasaan antikudeta di seluruh negara.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia bimbang dengan penggunaan kekerasan melampau oleh junta tentera terhadap penunjuk perasaan tidak bersenjata yang disifatkan boleh membahayakan sistem demokrasinya yang masih rapuh.