am@hmetro.com
Johor Bahru: Seramai 11 sukarelawan menyahut panggilan untuk membantu mangsa banjir badang di Kampung Geudumbak, Mukim Langkahan, Aceh Utara menerusi Misi Kemanusiaan Acheh 2.0 mulai 15 hingga 20 Februari depan.
Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata misi anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Johor dengan kerjasama Pasaraya Econsave adalah lanjutan daripada misi diadakan pada Disember lalu.
Beliau berkata, pelbagai jenis bantuan yang bakal ditawarkan menerusi misi kedua itu adalah usaha bagi mengubah situasi serba kekurangan di kawasan terjejas.
“Kali ini sukarelawan menerusi Misi ini termasuk wakil Econsave, MyCARE dan ahli media akan mengedarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk sumbangan pek makanan, ubat, keperluan harian, pakaian dan tilam.
“Hampir 80 rumah musnah dengan timbunan barang kayu, kami juga difahamkan bantuan semakin berkurangan.
“Pada misi lalu, kami mengadakan aktiviti ‘dapur umum’ iaitu inisiatif memasak untuk 200 penduduk setiap hari selama 10 hari, mengedarkan pek makanan serta 600 set kanvas.
“Manakala pada misi sempena Ramadan, kami akan menyerahkan pelbagai jenis sumbangan, mengadakan majlis berbuka puasa, pasar percuma dan menyantuni anak mangsa banjir.
“Malah program yang paling dinanti-nantikan adalah penyerahan tiga jenis rumah sementara yang digelar Rumah Senyum,” katanya
Beliau berkata demikian di Pelancaran Tabung Kemanusiaan Bencana Sumatera Utara dan Misi Banjir ke Acheh 2.0 di Pasaraya Econsave Taman Teratai di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.
Sempena pelancaran itu beberapa aktiviti diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, gerai pameran dan jualan serta car boot sale yang mana 20 peratus daripada hasil keuntungan akan disalurkan ke tabung dilancarkan.
Rozi berkata, misi berkenaan mendapat kerjasama erat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief dan Human Initiative Indonesia.
“Bagi tabung bencana baharu yang dilancarkan, kami menyasarkan kutipan setengah juta sehingga Disember 2026. Insya-Allah selepas ini ada misi kemanusiaan 3.0 dan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




