MyCARE sasar kutipan RM28 juta, harga pisang di Palestin cecah RM50 sebiji

MyCARE sasar kutipan RM28 juta, harga pisang di Palestin cecah RM50 sebiji

am@hmetro.com.my

Kulai: Sebanyak RM28 juta kutipan sumbangan disasarkan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) pada tahun ini dalam usaha menyantuni 25 buah negara yang berdepan krisis kemanusiaan serta bencana alam, termasuk Palestin.

Pengurus Besar Operasi MyCARE, Roha Hassan berkata, nilai sasaran itu sama dengan jumlah yang berjaya dikutip pihaknya sepanjang tahun lepas.

Katanya Palestin menjadi negara antarabangsa yang paling terkesan dan memerlukan bantuan kemanusiaan ketika ini, yang mana 89 peratus sumbangan pada tahun lalu disalur ke negara itu.

“Tahun ini kita sasarkan kutipan sebanyak RM28 juta. Alhamdulillah setakat ini separuh daripada jumlah itu telah berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan rakan kongsi, syarikat korporat serta individu perseorangan.

“Majoriti daripada sumbangan itu akan disalur ke Palestin melalui pembelian barangan seperti makanan dan minuman, pakaian, ubat-ubatan, bahan pendidikan serta anggota badan palsu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Kemanusiaan Bersamamu Palestin di Senai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MyCARE, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani serta Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Menurut Roha, jumlah sumbangan pada tahun lalu yang disalurkan bagaimana tidak mencukupi.

Katanya ini kerana kemusnahan besar yang telah berlaku di seluruh Palestin susulan keganasan rejim zionis sejak Oktober 2023.

“Sejak Oktober 2023 hingga Ogos ini, MyCARE menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk Palestin berjumlah RM25.9 juta yang telah beri manfaat kepada seramai 515,000 orang.

“Jumlah orang yang boleh dibantu sangat terhad kerana barangan di sana berharga sangat mahal, sehinggakan sebiji pisang mencecah harga sehingga RM50,” katanya.

Sementara itu, Kamal Nasharuddin pula memberitahu, tindakan rejim zionis terhadap rakyat Palestin adalah satu perbuatan keganasan dan seharusnya dikecam masyarakat seluruh dunia.

Kepada mana-mana pihak yang mahu membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank MyCARE bernombor 551575004299, atau akaun CIMB bernombor 8602135592 serta akaun Bank Islam bernombor 12092010034904.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top