MyDigital ID kaedah log masuk tunggal MyJPJ mulai 1 Februari 2026

MyDigital ID kaedah log masuk tunggal MyJPJ mulai 1 Februari 2026

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Bermula 1 Februari 2026, warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ terus komited mendukung agenda transformasi digital negara melalui pelaksanaan kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ menggunakan MyDigital ID sebagai pengesahan identiti digital yang lebih mudah, selamat dan telus.

Katanya, ia sekali gus menggantikan penggunaan kata laluan sedia ada.

“Bagi pengguna bawah 18 tahun serta pemegang kad MyPR, kaedah log masuk sedia ada akan terus digunakan melalui pautan khas yang memerlukan pengguna memasukkan 12 digit nombor MyPR /MyKAD berserta kata laluan.

“Sementara itu, pengguna yang belum pernah mendaftar MyJPJ, proses log masuk boleh terus dilaksanakan melalui MyDigital ID.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan pembukaan akaun palsu serta akses tidak sah ke dalam sistem MyJPJ,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Aedy berkata, untuk rekod, setakat hari ini, seramai 13 juta pengguna sudah mendaftar atau memiliki akaun MyJPJ.

“Daripada jumlah itu, 1.3 juta pengguna menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi MyJPJ dan baki 11 juta pengguna lagi perlu melakukan proses pra daftar melalui pengesahan wajah untuk mempercepatkan proses pendaftaran MyDigital ID.

“MyDigital ID ialah platform identiti digital yang mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan telus melalui pangkalan data Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan sebarang data peribadi pengguna,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan transaksi digital, malah lebih mudah, lancar tanpa keperluan mengingati pelbagai kata laluan.

“JPJ menyeru semua pengguna aplikasi MyJPJ supaya mengambil langkah proaktif dengan mendaftar dan menyediakan tetapan MyDigital ID lebih awal demi kelancaran urusan apabila kaedah log masuk tunggal ini mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Februari 2026,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top