DALAM usaha memodenkan pasaran buruh negara, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan aplikasi mudah alih MYFutureJobs sebagai platform pencarian kerja nasional yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena sambutan Hari Pekerja 2025, aplikasi ini adalah penambahbaikan daripada portal MYFutureJobs yang sebelum ini hanya boleh diakses menerusi komputer.
Menurut PERKESO, langkah memperkenalkan aplikasi ini diambil berikutan data yang menunjukkan lebih 70 peratus pengguna mengakses portal pencarian kerja itu menggunakan telefon pintar.
Kini, aplikasi ini boleh digunakan secara langsung menerusi telefon pintar, menjadikannya lebih fleksibel dan memudahkan proses pencarian kerja dan majikan di seluruh negara.
Dilengkapi pelbagai fungsi pintar
Aplikasi MYFutureJobs dibangunkan dengan pelbagai fungsi pintar yang menyokong keperluan semasa pencari kerja.
Sebagai contoh, ia mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencadangkan jawatan yang bersesuaian mengikut profil, kemahiran dan minat pengguna.
Proses permohonan juga menjadi lebih mudah apabila pengguna boleh memohon sesuatu jawatan hanya melalui telefon pintar mereka, tanpa perlu menggunakan komputer atau melalui kaedah konvensional.
Tambahan, aplikasi ini turut menyediakan notifikasi masa nyata yang membolehkan pengguna mengetahui status permohonan, menerima jemputan temu duga serta tawaran kerja daripada majikan secara terus.
Dengan capaian yang tersedia sepanjang masa, pencari kerja kini boleh mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan tanpa had masa dan lokasi.
Bukan itu sahaja, keunikan aplikasi ini juga terletak pada asas pembangunannya.
Tidak seperti platform pekerjaan lain yang dibangunkan oleh pihak swasta dan sering mengenakan caj untuk ciri premium, aplikasi MYFutureJobs dibangunkan sepenuhnya oleh PERKESO, agensi kerajaan dan ditawarkan secara percuma kepada semua.
Ini menjadikannya lebih dipercayai, telus serta selamat untuk digunakan.
Lebih penting, aplikasi ini memberi tumpuan khusus kepada keperluan pasaran buruh Malaysia, menjadikannya lebih relevan kepada pencari kerja tempatan.
Catat lebih 51,000 muat turun
Menurut PERKESO, sambutan terhadap aplikasi ini sejak ia mula dilancarkan juga amat memberangsangkan.
Dalam tempoh sebulan pertama, aplikasi ini berjaya mencatatkan lebih 51,000 muat turun, satu petanda jelas bahawa rakyat menyambut baik pendekatan baharu ini dalam usaha mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
Bagi memastikan aplikasi ini terus relevan dan memenuhi keperluan pengguna, PERKESO turut merancang beberapa penambahbaikan dalam masa terdekat.
Antara penambahbaikan yang sedang dibangunkan termasuklah sokongan dwibahasa bagi memudahkan pengguna dari pelbagai latar belakang kaum dan bahasa, selain kemas kini antara muka aplikasi agar lebih interaktif serta mudah digunakan.
Aplikasi ini juga akan dilengkapi dengan maklumat berkaitan karnival kerjaya yang boleh diakses secara langsung serta fungsi keselamatan tambahan seperti fungsi biometrik bagi mempercepat serta memudahkan akses pengguna.
Tidak terhenti di situ, PERKESO akan turut memperkenalkan ciri baharu yang dikenali sebagai ‘Job Near Me’ bagi membolehkan pencari kerja melihat peluang pekerjaan berhampiran lokasi mereka.
Di samping itu, satu papan pemuka permohonan (dashboard) akan diwujudkan bagi memudahkan pengguna menjejak status permohonan, melihat senarai jawatan yang dipohon dan menilai undangan kerja daripada majikan dengan lebih tersusun.
Bina peluang kerjaya
Aplikasi MYFutureJobs mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyesuaikan ekosistem pekerjaan negara dengan landskap digital yang semakin berkembang.
Justeru, pengenalan aplikasi ini bukan sekadar bagi memudahkan capaian, malah memperkukuh pendekatan digital kerajaan dalam urusan pencarian pekerjaan dan pemilihan pekerja.
Pendekatan pintar ini diharap dapat memperkukuh daya saing tenaga kerja negara, seterusnya menyokong matlamat Malaysia ke arah menjadi ekonomi digital berpendapatan tinggi.
Muat turun aplikasi MYFutureJobs di peranti pintar anda sekarang dan mula bina masa depan kerjaya dengan lebih mudah dan pantas.
© New Straits Times Press (M) Bhd