lokman.khairi@hmetro.com.my
Ampang: Inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuka ruang niaga lebih teratur dan selesa buat peniaga kecil, termasuk mereka yang sudah lama bergiat dalam bidang perniagaan jalanan.
Mohammad Maliki Ghazali, 31, antara peniaga yang melihat perubahan ketara selepas menyertai program MyKiosk sejak Ogos tahun lalu.
Perniagaannya yang menjual makanan bergoreng seperti pisang goreng dan samosa kini mencatatkan jualan harian sekitar RM700 hasil berniaga dari jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.
“Saya memang sudah lama berniaga di sini, sejak 2000 lalu bersama ibu. Cuma dulu pacak kedai tepi jalan saja.
“Sekarang apabila ada kios, memang lebih teratur dan pelanggan pun mudah nak cari.
“Saya mula daftar Ogos tahun lalu, sewa yang ditetapkan juga munasabah iaitu RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di MyKiosk Jalan Cempaka 8, di sini, hari ini.
Maliki berkata, walaupun lokasi niaga sama seperti dulu, kewujudan MyKiosk dengan rupa fizikal yang seragam dan kemudahan asas menjadikan urusan niaga lebih profesional dan selesa.
“Sekarang tak perlu risau hujan atau panas, semua barang pun boleh simpan elok.
“Cuma pelanggan belum ramai yang tahu mengenai kios ini, jadi perlu lebih promosi dan publisiti,” katanya.
Turut mendapat manfaat daripada inisiatif itu ialah Putera Adam Darwisy Nor Haslan, 18, yang baru memulakan perniagaan air soya dan tau fu faa di lokasi sama sejak Oktober tahun lalu.
“Saya belajar berniaga dari ayah. Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ayah sewa kios ini untuk saya belajar berniaga sementara tunggu penempatan ke universiti.
“Pemilihan lokasi MyKiosk ini juga baik kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan stesen minyak membuatkan ia mudah diakses orang ramai,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Bagaimanapun, katanya, faktor lokasi saja tidak menjamin hasil jualan yang memberangsangkan kerana dunia perniagaan pasti ada naik dan turun.
“Sebelum Ramadan, hasil jualan harian boleh mencecah RM300, namun selepas Aidilfitri prestasi jualan agak perlahan.
“Sekarang saya cuma dapat sekitar RM150 sehari walaupun buka dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Menurut Adam, cabaran utama adalah lokasi dan kemudahan parkir yang kurang mesra pelanggan.
“Ramai pelanggan datang membeli waktu petang selepas balik kerja, namun pelanggan hadapi masalah susah hendak letak kenderaan.
“Kenderaan lain yang melalui jalan ini juga susah hendak bergerak jika pelanggan berhentikan kenderaan di hadapan kios.
“Namun, secara keseluruhannya saya fikir program MyKiosk ini bagus kerana mengurangkan penjaja tanpa lesen dan meningkatkan imej perniagaan mikro di kawasan bandar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd