MyKiosk bukan projek gajah putih! Berjaya bantu lebih 7,000 penjaja kecil tingkat pendapatan -KPKT

MyKiosk bukan projek gajah putih! Berjaya bantu lebih 7,000 penjaja kecil tingkat pendapatan -KPKT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan dakwaan bahawa inisiatif MyKiosk sebagai projek ‘gajah putih’ adalah tidak tepat, susulan kejayaan projek itu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara.

Menurut kementerian, semakan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati hingga Julai 2025, kadar pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75 peratus, manakala MyKiosk 2.0 pula mencapai 86.78 peratus.

“Inisiatif ini juga telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara dengan rekod kejayaan peniaga meraih pendapatan hingga RM30,000 sebulan,” menurut kenyataan KPKT.

MyKiosk bukan projek gajah putih!

Kementerian turut menyambut baik syor penambahbaikan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung inisiatif MyKiosk, dan mendukung cadangan suruhanjaya itu untuk memantapkan tatakelola, khususnya dalam aspek kajian keperluan dan pemantauan bagi memastikan keberkesanan projek jangka panjang.

Artikel lain: Terbukti projek MyKiosk tiada rasuah, Menteri KPKT gesa penfitnah mohon maaf

Semalam, SPRM mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT, termasuk pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh serta penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan keberhasilan projek MyKiosk MADANI melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI), dan menubuhkan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai keberkesanan projek.

Dua cadangan lain merangkumi penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI dan mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi.

Jelas KPKT, walaupun dasar dan peruntukan disalurkan di peringkat Persekutuan, PBT bertindak sebagai agensi pelaksana utama yang bertanggungjawab menentukan lokasi strategik, melantik peniaga yang layak, dan menyelenggara fasiliti MyKiosk.

“Laporan SPRM telah mengenal pasti kelemahan di peringkat ini, khususnya ketiadaan mekanisme pemantauan yang seragam yang menjejaskan penilaian impak projek.
“Susulan itu, KPKT telah mewajibkan PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk untuk memastikan lokasi mempunyai permintaan pasaran yang tinggi, sekali gus dapat menjamin kelangsungan perniagaan melalui garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT),” menurut kenyataan itu.

Prestasi PBT pula akan dinilai melalui sistem ‘lampu isyarat’, di mana PBT yang gagal mencapai KPI pengisian dan pengoperasian (status merah) berdepan tindakan pembatalan peruntukan, manakala PBT cemerlang (status hijau) menerima insentif tambahan.

Selain itu, PBT disaran memindahkan unit kiosk yang kurang sambutan ke lokasi lebih tumpuan orang ramai bagi mengoptimumkan penggunaan aset.

“Sebagai langkah proaktif menangani isu kesesuaian lokasi, KPKT juga telah memperluaskan inisiatif ini ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui inisiatif MyKiosk@Kampus sebagai menyokong agenda keusahawanan siswa atau belia di kampus,” kata kementerian lagi.

Sumber: FB KPKT Malaysia

Scroll to Top